suria

Pemilik dan pengusaha kereta lama kecewa dengan syarat NAP

KUALA LUMPUR: Kebanyakan pemilik kereta dan pengusaha kenderaan terpakai kecewa dengan peraturan baru Dasar Automotif Nasional (NAP) yang mewajibkan kenderaan penumpang berusia lebih 15 tahun menjalani pemeriksaan tahunan di Puspakom sebelum memperbaharui cukai jalan.

Mereka berpendapat peraturan baru itu, yang berkuatkuasa 1 Januari depan, akan membebankan golongan kurang berkemampuan serta menjejaskan industri jualan kereta terpakai di negara ini.

Peraturan itu, yang dianggar membabitkan kira-kira sejuta kenderaan penumpang, adalah antara 18 langkah baru dalam kajian semula NAP bagi meningkatkan daya saing industri automotif tempatan serta menawarkan kenderaan lebih selamat, mesra alam dan berteknoloji tinggi.

Seorang pengusaha kenderaan terpakai Mohd Rizal Sabtu menyifatkan langkah itu akan menjejaskan industri itu selain membebankan pengguna di luar bandar memandangkan kadar insurans kereta yang dikenakan turut naik pada kadar RM350.

"Kini untuk semua jenis kereta tidak kira tahun, premium insurans yang dikenakan ialah RM350. Ini bukan polisi pihak ketiga tetapi juga komprehensif. Polisi pihak ketiga seingat saya dah dihapuskan Julai lepas," katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Pengusaha Zalfa Trading Enterprise itu berkata syarikatnya boleh menjual antara 60 hingga 70 buah kenderaan yang berusia 15 tahun ke atas dalam tempoh setahun atau dalam 15 buah kenderaan dalam tempoh sebulan.

"Saya tidak yakin akan mampu menjual sebanyak itu lagi tahun depan dengan syarat terbaru ini," katanya yang biasa menjual kereta terpakai berusia lebih 15 tahun itu antara RM4,000 hingga RM10,000.

Seorang pengusaha kecil-kecilan di Manjung, Perak, Zulfinaini Safie, berkata beliau bakal berdepan dengan masalah apabila hampir 75 peratus kenderaan di premisnya merupakan kenderaan berusia lebih 15 tahun.

"Sudah tentulah banyak kerugian yang perlu saya tanggung dan paling merisaukan saya ialah tidak ada siapa nak beli lagi kenderaan terpakai memandangkan kini jualannya semakin perlahan," katanya.

Pemilik kereta lama, Safian Ismail, seorang pegawai pentadbir, yang memiliki sebuah kereta Datsun, berkata syarat baru itu dilihat seperti mahu menghapuskan terus kenderaan lama di negara ini.

"Seperti saya ini menyimpan kereta lama kerana meminati kenderaan model-model lama dan bukan untuk kegunaan seharian tetapi bagaimana pula bagi mereka yang memiliki kereta lama disebabkan faktor kurang berkemampuan?.

"Mereka ini kebanyakan duduk di pedalaman dan pastinya sukar untuk mereka menjalani pemeriksaan di Puspakom yang kebanyakannya terletak di bandar besar," katanya.

Bagi pemilik kereta Toyota Starlet yang berusia 24 tahun, Mohd Najib Abd Rashid, pula berkata beliau bersetuju dengan syarat itu demi keselamatan pengguna kereta lama.

Bagaimanapun, katanya masalah yang lebih risaukannya ialah apabila NAP bakal merangka mekanisme baru untuk melaksanakan larangan pengimportan alat ganti terpakai kenderaan dalam tempoh 18 bulan akan datang.

"Perkara ini pasti akan menyukarkan pemilik kenderaan lama untuk mendapatkan alat ganti dan perkara ini diburukkan lagi dengan kesukaran pemilik kenderaan untuk mendapatkan insurans," katanya.

Mohd Najib, yang juga setiausaha kelab 'oldskool.org' dengan 4,000 ahli terdiri daripada pemilik dan peminat kenderaan lama, berkata kebanyakan ahli kelab itu tidak bersetuju dengan syarat yang diperkenalkan itu.

Beliau berharap kerajaan dapat mencari jalan yang lebih sesuai khususnya bagi pemilik kenderaan lama yang kurang berkemampuan. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain