suria

RM500,000 lagi akan ditambah untuk peruntukan bantuan pentadbiran tahunan Majlis Belia Malaysia

PUTRAJAYA: Mulai tahun depan, Kementerian Belia dan Sukan akan meningkatkan jumlah peruntukan bantuan pentadbiran tahunan untuk tabung aktiviti Majlis Belia Malaysia (MBM) dari RM500,000 kepada RM1 juta.

Manakala jumlah bantuan untuk Majlis-Majlis Belia Negeri juga akan dinaikkan dari RM20,000 kepada RM50,000.

Pengumuman itu dibuat oleh Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ahmad Shabery Cheek dalam satu sidang media di Putrajaya hari ini selepas menyerahkan watikah pelantikan kepada 20 anggota Majlis Perundingan Belia Negara.

Peruntukan itu adalah untuk membiayai aktiviti persatuan-persatuan belia yang didaftarkan dibawah Pembentukan Pendaftar Pertubuhan Belia (ROY) yang juga berperanan memantau aktiviti-aktiviti persatuan belia.

Majlis Perundingan Belia Negara dibentuk sebagai badan perundingan dalam hal ehwal berhubung dengan pembangunan belia.

Ahmad Shabery berkata, ini adalah salah satu langkah untuk menangani pelbagai masalah sosial belia dengan menyediakan platform yang sesuai agar mereka terlibat dalam aktiviti yang sihat.

“Kira-kira 12 juta atau 40 peratus rakyat negara ini terdiri daripada kalangan belia.

“Sekiranya kementerian yang menjaga golongan belia ini tidak memahami dan mengambil berat akan harapan golongan belia ini siapa lagi yang akan berbuat demikian?” tanya beliau.

Pemilihan 20 anggota Majlis Perundingan Belia Negara kali ini agak berlainan kerana mereka ini dipilih dari 140 orang yang dicalonkan menerusi satu laman web.

Artikel Lain