suria

Mohd Isa gembira kejayaan Bagan Pinang suntik semangat Perhimpunan Agung Umno

KUALA LUMPUR: Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad gembira kejayaan Barisan Nasional (BN) di Bagan Pinang berjaya menyuntik semangat para pemimpin Umno di semua peringkat pada Perhimpunan Agung parti itu.

Meskipun kejayaan BN di Bagan Pinang disebut hampir dalam semua ucapan pada perhimpunan agung itu, beliau secara peribadi tidak berasa sesuatu yang istimewa melainkan rasa bangga kerana dapat membantu kejayaan parti.

"Saya dari segi peribadi tak rasa apa-apa, apa yang saya rasa bangga kerana saya dapat bantu parti kerana kemenangan di Bagan Pinang menjadi 'turning point' untuk Umno kembali yakin bahawa kita merupakan parti yang diminati dan disukai oleh semua peringkat," katanya kepada pemberita selepas selesai perhimpunan Jumaat.

Mohd Isa, yang juga bekas Menteri Besar Negeri Sembilan selama 22 tahun, telah memenangi pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Bagan Pinang, Negeri Sembilan pada 11 Okt lepas dengan majoriti besar sebanyak 5,435 undi.

Pada pilihan raya itu, Mohd Isa berjaya memperolehi 8,013 undi berbanding lawannya Pesuruhjaya PAS Negeri Sembilan Zulkefly Mohamad Omar yang mendapat 2,578 undi.

Mohd Isa yakin kegemilangan Umno dapat dikembalikan jika perubahan yang dituntut presiden parti itu Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak dan timbalannya Tan Sri Muhyiddin Yassin berjaya dilaksanakan dengan baik.

Mengulas mengenai perjalanan persidangan kali ini, Ketua Umno bahagian Teluk Kemang itu berkata selain tumpuan kepada pindaan perlembagaan yang menyeluruh dan berani, kesediaan semua pemimpin Umno berikar untuk bekerja mengukuhkan lagi parti akan boleh membawa kejayaan besar kepada BN pada pilihan raya umum ke-13.

"Umno parti yang bagus, cuma kalau kita 'polish' lebih sikit, kilauannya akan lebih menyinar," kata Mohd Isa. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain