suria

Setiausaha Suaram mengaku tidak salah buat laporan palsu

JOHOR BAHARU: Setiausaha Suara Rakyat Malaysia (Suaram) Johor Baharu, Cheng Lee Whee, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini terhadap tuduhan membuat laporan polis palsu pada Oktober tahun lepas.

Cheng, 27, dari Rimba Terjun, Pontian, dituduh membuat laporan polis palsu iaitu "Johor Jaya Report 12353/08" di Balai Polis Permas Jaya, pada 2.33 petang 16 Okt tahun lepas.

Wanita itu, yang dituduh mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan, boleh dipenjara sehingga enam bulan dan didenda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Amira Suriati Zainal manakala Cheng diwakili peguam John Fernandez dan Hassan Karim.

Majistret Mohd Fuad Abdul Ghani menetapkan 16 Dis ini untuk perbicaraan dan membenarkan Cheng diikat jamin sebanyak RM1,000. BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain