suria

Najib: Penubuhan Parti Makkal Sakti detik bersejarah penting

SERDANG: Perdana Menteri Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak yang kini berada di sini untuk melancarkan Parti Makkal Sakti Malaysia - parti terbaru masyarakat India - menyifatkan penubuhan parti itu satu lagi detik bersejarah penting bagi negara.

"Ini kerana ia merupakan sebuah parti yang bertunjangkan kepentingan nasional dan menjadi satu daripada alat yang memperjuangkan denyut nadi rakyat," kata Najib yang juga Pengerusi Barisan Nasional(BN).

Najib menyatakan demikian dalam perutusan buku cenderamata pelancaran parti itu.

Perdana Menteri menyempurnakan majlis pelancaran di Taman Pameran Agro Malaysia (MAEPS) di sini. Beliau tiba pukul 10.40 pagi.

Pelancaran ini juga dilihat sebagai satu sejarah di mana kali pertama Perdana Menteri melancarkan parti politik yang bukan merupakan komponen BN.

Malah ia juga dilihat bersejarah - pelancaran parti politik pertama - selepas Najib mengambil alih kepimpinan negara awal April lalu.

Sehubungan itu kata Najib, beliau gembira kerana parti ini sedia berkongsi gagasan 1Malaysia dan harapan yang sedang diperjuangkan oleh kerajaan BN sekarang.

Penubuhan Parti Makkal Sakti Malaysia yang bermaksud "Kuasa Rakyat", kata Najib, akan mendukung gagasan 1Malaysia yang menjadi sandaran kerajaan untuk membela nasib rakyat.

Ia yang ditubuhkan oleh bekas pemimpin Hindraf, yang telah diharamkan Oktober lalu, telah diluluskan oleh Pertubuhan Pendaftar Mei lalu.

"Marilah kita bersama-sama berganding bahu demi kepentingan rakyat tanpa mengira kaum, ideologi politik, budaya dan kepercayaan demi memastikan negara terus untuk makmur dan mencapai kejayaan," katanya.

Kira-kira 5,000 orang, kebanyakannya penyokong Parti Makkal Sakti, berhimpun di dewan utama MAEPS.

Artikel Sebelum

Artikel Lain