suria

Cina Islam boleh jadi MB hanya retorik PAS - Awang Adek

BACHOK: Kesediaan PAS untuk mentauliahkan kaum Cina yang beriman dan berpegang teguh kepada ajaran Islam sebagai Menteri Besar Kelantan hanyalah retorik parti itu sematamata sebagai memancing kaum Cina dan India menyokong mereka terutama pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Bagan Pinang.

Timbalan Menteri Kewangan Senator Datuk Dr Awang Adek Hussin berkata sebaliknya perkara itu sukar untuk berlaku di Kelantan kerana halangan tertentu dalam PAS seperti mana isu mahu membuka keanggotaan kepada bukan Islam menyertai PAS.

"Jika serius kita nak lihatlah perkara ini berlaku di Kelantan dulu dan jika lihat keadaan hari ini ia tidak akan berlaku dan ini hanya sematamata untuk menarik kaum Cina dan India pada pilihan raya kecil ini.

"Isu ini bukan perkara baru seperti di Pulau Pinang pun ketua menterinya adalah orang Cina dan juga di Sabah sebelum ini," katanya kepada pemberita selepas Majlis Sambutan Aidilfitri anjuran Pejabat Pelajaran Daerah Bachok di sini, hari ini.

Semalam Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat ketika berkempen di Bagan Pinang bersedia mentauliahkan Cina Islam untuk menjadi Menteri Besar Kelantan asalkan berpegang teguh kepada ajaran Islam dan layak menjadi pemimpin.

Nik Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan itu berkata jika ada calon yang layak, beliau sendiri yang akan mencadangkannya untuk jawatan itu.

Mengulas perkara itu Awang Adek yang juga Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan berkata kaum Cina dan India di Bagan Pinang tidak akan terpengaruh dengan janjijanji PAS yang sebenarnya tidak mampu untuk memajukan kaum tersebut.

"Port Dickson umpamanya sudah terkenal di mata dunia dengan kemajuan pelancongannya dan sebab itu ia perlu diwakili wakil rakyat Barisan Nasional bagi memastikan kemajuannya tidak terhenti.

"Di Kelantan saya malu apabila Pantai Irama di Bachok yang kononnya adalah pantai peranginan Islam sedangkan ia ibarat langit dengan bumi nak dibanding dengan Port Dickson dan ini sebenarnya telah mencemarkan imej Islam itu sendiri," katanya.

Beliau berkata pada pertemuannya dengan lebih 400 nelayan di Bagan Pinang semalam yang mahukan wakil rakyat baru nanti menambak pantai yang kini mula terhakis dan semestinya hasrat nelayan itu hanya boleh dilakukan oleh calon BN, Tan Sri Mohd Isa Samad.

Lebih 2,000 warga pendidik Bachok dan keluarga mereka hadir pada majlis itu yang turut dihadiri Pengarah Pelajaran Kelantan, Mohd Ghazali Abdul Rahman. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain