suria

Malaysia perlu lebih ramai saintis dan penyelidik, kata Muhyiddin

KUALA LUMPUR: Malaysia benar-benar memerlukan lebih ramai saintis, penyelidik, inovator dan pelopor dalam sains dan teknologi, kata Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Muhyiddin berkata sasaran di bawah Rancangan Malaysia Kesembilan ialah untuk mempunyai 60 penyelidik, saintis dan jurutera bagi setiap 60,000 tenaga kerja tetapi pada hari ini negara hanya dapat mencapai 18 peratus daripada bilangan yang diperlukan.

"Kita bersedia melakukan apa saja bagi menangani kekurangan mereka yang berbakat dalam saintifik, kerana kunci bagi ekonomi yang dinamik dan bertenaga ialah berkaliber tinggi, aktif dan modal insan yang berasaskan prestasi," katanya semasa berucap merasmikan Persidangan dan Ekspo Antarabangsa Ciptaan Institusi Pengajian Tinggi 2009 (PECIPTA 2009) di sini hari ini.

Bagaimanapun, Muhyiddin berkata peningkatan dorongan terhadap penyelidikan, pembangunan dan komersialisasi di universiti adalah langkah yang positif dan menggalakkan dan berada pada landasan yang betul kerana ia selaras dengan agenda kerajaan bagi memacu negara untuk menjadi sebuah negara maju pada 2020 melalui proses transformasi modal insan bagi melahirkan mereka yang berpendidikan dan inovator dan usahawan yang memahami, pada masa depan.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran menegaskan bahawa ia merupakan hasrat kerajaan bagi menggalakkan kerjasama antara industri dan universiti agar mereka dapat sama-sama menyumbang dalam perkongsian mantap universiti-industri yang akan mengubah pasaran menjadi syurga peluang-peluang perniagaan dengan penemuan yang inovatif dan pengurusan sumber yang mampan.

Dalam ucapannya, Muhyiddin juga mahu rakyat mengambil peluang menggalakkan inovasi semasa krisis ekonomi pada masa ini.

"Krisis ekonomi yang dihadapi sekarang tidak perlu dibazirkan. Kita perlu merebut peluang untuk memupuk dan menjana nilai-nilai tambah terhadap langkah-langkah inovasi untuk memperbaiki dan memacu negara bagi mencapai kemakmuran ekonomi yang lebih baik," katanya.

Ekspo yang bertemakan "Driving Research Innovation Towards Value Creation", mulai 8 hingga 10 Okt di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di sini mempamerkan lebih daripada 500 ciptaan dan projek yang dijalankan institusi pengajian tinggi awam, syarikat korporat kerajaan dan rakan industri.

Ia dianjurkan bersama oleh Kementerian Pengajian Tinggi dan Universiti Malaya, dengan objektif utama bagi menonjolkan penyelidikan yang bukan sahaja berinovasi tetapi juga praktikal yang telah dijalankan oleh universiti-universiti yang mengambil bahagian.

"Acara seperti PECIPTA ini boleh menjadi batu loncatan bagi melancarkan produk yang dihasilkan melalui penyelidikan bagi membolehkan pengusaha industri dan pihak lain yang berminat untuk membiasakan diri dengan keluaran inovatif terbaru daripada universiti-universiti," kata Muhyiddin.

Pada majlis itu, Muhyiddin melancarkan Penilaian Penyelidikan Malaysia (MyRA), satu instrumen bagi menilai institusi pengajian tinggi dalam aspek Penyelidikan, Pembangunan dan Komersialisasi (R&D&C).

Beliau juga melancarkan IXC Malaysia, mekanisme antarabangsa bagi bertukartukar pengetahuan yang diabadikan bagi menggalakkan pertumbuhan perniagaan melalui usaha sama yang berinovasi.

Bercakap kepada pemberita kemudian, Muhyiddin meminta universiti tempatan dan sentor swasta mengadakan usaha sama bagi menjalin perkongsian pintar dalam bidang-bidang penyelidikan, pembangunan dan komersialisasi bermula daripada penyelidikan itu dijalankan dalam bentuk produk.

Muhyiddin mengakui bahawa dana daripada kerajaan berhubung kerja-kerja penyelidikan di universitiuniversiti adalah kecil sambil menambah bahawa di negara-negara maju seperti Amerika Syarikat, Jepun, Korea Selatan dan negara-negara Eropah, sektor swasta memberi sumbangan yang besar bagi usaha-usaha sedemikian.

"Kita harap pada masa depan, pihak swasta akan tampil dan sama-sama memulakan penyelidikan dengan universiti dan jika ada potensi dikomersilkan yang boleh memberi faedah kepada mereka," katanya.

Mengenai kedudukan Universiti Malaya dalam "Times Higher EducationQS World University Ranking 2009", di mana ia kini berada pada kedudukan 180 tahun ini, Muhyiddin berkata beliau amat gembira dengan perkembangan ini.

Sambil menegaskan bahawa ia merupakan contoh yang baik, Muhyiddin berkata kejayaan itu juga disebabkan penekanan universiti itu dalam bidang penyelidikan dan pembangunan. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain