suria

SPR cadang Pakatan Rakyat daftar sebagai parti

KUALA KRAI: Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof mencadangkan agar parti-parti pembangkang mendaftar Pakatan Rakyat sebagai sebuah gabungan yang sah seperti Barisan Nasional bagi membolehkan mereka berkempen sebagai satu pakatan.

"Daftarlah dengan Pendaftar Pertubuhan sebagai parti Pakatan Rakyat, dan SPR tidak akan kacau lagi," katanya merujuk kepada tindakan SPR menurunkan bahan kempen parti yang tidak bertanding di Bagan Pinang semalam yang mencetuskan kekecohan apabila penyokong pembangkang mengerumuni anggota penguatkuasa suruhanjaya itu.

Bercakap kepada pemberita pada majlis sambutan Aidilfitri dan penyampaian sijil kepada petugas pilihan raya kecil Manik Urai di Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Yahya Petra 1 di sini malam tadi, Abdul Aziz berkata bahawa yang bertanding di Bagan Pinang adalah Pas dan Barisan Nasional manakala parti lain tidak membayar deposit dan tidak mendapat permit untuk berkempen.

"Sebab itu pasukan pemantau kita menurunkan bendera, simbol dan gambar parti yang tidak bertanding," katanya.

Abdul Aziz berkata SPR telah menasihatkan semua parti berhubung larangan berkenaan tetapi ada pihak yang masih berdegil. "Apabila kita ambil tindakan tegas, saya harap mereka dapat menerimanya dengan hati terbuka," katanya.

Abdul Aziz juga berkata kenderaan yang dinaikinya telah dikepung pada hari penamaan calon di Bagan Pinang pada Sabtu lepas.

"(Kenderaan) kami ditahan. Kami dimaki hamun dan ditunjuk duit pada muka kita. Saya takut lihat muka mereka dan bimbang juga keselamatan kami seperti kenderaan diterbalikkan," katanya.

Beliau berkata disebabkan itu SPR telah menasihatkan parti bertanding agar tidak membawa terlalu ramai penyokong berarak mengiringi calon pada hari penamaan calon iaitu tidak melebihi 5,000 orang tetapi ia tidak diendahkan. BERNAMA

Artikel Lain