suria

Pasukan perubatan surgeri kedua ATM berlepas ke Padang hari ini

KUALA LUMPUR: Pasukan Perubatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang kedua yang terdiri daripada pegawai perubatan dan doktor pakar bedah akan berlepas ke Padang, Indonesia dalam Misi Bantuan Kemanusiaan petang ini.

Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata pasukan kedua itu akan ditempatkan di sana selama 10 hari atau lebih bergantung kepada keperluan dan situasi di sana.

"Sabtu lepas kita telah menghantar 17 orang dari pasukan Kor Perubatan Teknikal ATM dan hari ini pasukan kedua seramai 53 orang akan menyusul dan ini menjadikan kesemuanya seramai 70 orang," katanya pada sidang media selepas merasmikan Kongres ke-38 Perubatan Ketenteraan Sedunia (WCMM) di sini, hari ini.

Katanya pengalaman anggota ATM yang dalam membantu operasi mencari dan menyelamat berikutan gempa bumi kuat yang melanda Jogjakarta pada Mei 2006 amat berguna dan membolehkan mereka berkhidmat lebih lama di sana.

Dalam perkembangan lain, Ahmad Zahid berkata kementerian itu berhasrat menambah bilangan doktor pakar perubatan ATM.

Sementara itu, Kementerian Kesihatan dengan kerjasama Majlis Keselamatan Negara (MKN) juga akan menghantar pasukan kedua perubatannya ke Padang dalam masa terdekat.

Wakil Kementerian Kesihatan yang juga anggota Jawatankuasa Koordinasi Bantuan Bencana MKN Prof Dr Abu Hassan Asaari Abdullah berkata pasukan pertama kementerian seramai lapan orang yang terdiri daripada pegawai perubatan dan doktor pakar bedah dihantar pada Sabtu lepas.

"Perdana Menteri (Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak) juga ada mengarahkan kita menghantar pegawai perubatan dan doktor pakar surgeri supaya dapat memberi perawatan pembedahan di Hospital Padang.

"Kita masih memantau keadaan keselamatan di kawasan bencana dan akan menghantar pasukan tambahan jika diperlukan," katanya kepada pemberita selepas menerima sumbangan Kenderaan Respon Perubatan (MRV) daripada Syarikat Mengurus Air Banjir & Terowong Sdn Bhd (SMART) di sini hari ini.

Mengenai fokus rawatan yang diberikan oleh pasukan perubatan kementerian di sana, Dr Abu Hassan Asaari yang juga Pakar Perunding Kanan Traumatologi dan Ketua Jabatan Kecemasan dan Trauma Hospital Kuala Lumpur (HKL) berkata pihaknya lebih menumpukan untuk membantu klinikklinik di Indonesia bagi rawatan yang lebih efektif.

Beliau berkata setakat ini, 20 peratus bekalan perubatan sudah digunakan dan akan menghantar bekalan tambahan sekerap mungkin di samping memohon bantuan kerajaan.

"Bekalan kedua (ubatan) ini akan dihantar dalam masa seminggu selepas menerima analisis perubatan daripada pasukan pertama," katanya dan menurutnya pihaknya turut menyediakan perkhidmatan hospital bergerak yang lengkap dengan peralatan pembedahan.

Terdahulu, sebuah kenderaan MRV yang bernilai RM250,000 termasuk peralatan perubatan diserahkan oleh Pengarah SMART Datuk Dr Ahmad Zaidee Laidin untuk kegunaan HKL pada waktu kecemasan terutama di kawasan-kawasan yang sukar seperti terowong, banjir dan jalan yang berbatuan.

Dr Ahmad Zaidee berkata sumbangan MRV kepada HKL adalah atas keprihatinan dan tanggungjawab SMART terhadap keselamatan orang ramai di samping membantu pasukan respons kecemasan (ERT).

MRV yang fungsinya sama seperti ambulans dilengkapi peralatan perubatan secukupnya berkeupayaan membawa pasukan perubatan kecemasan ke tempat kejadian dengan pantas. BERNAMA

Artikel Lain