suria

MCA benarkan perwakilan mendaftar menjelang berlangsungnya EGM

KUALA LUMPUR: Ibu pejabat MCA dan penyokong Timbalan Presiden yang dipecat Datuk Seri Dr Chua Soi Lek Rabu mengadakan pusingan akhir perbincangan berhubung Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) parti itu 10 Okt ini.

Setiausaha Agung MCA Datuk Wong Foon Meng berkata perwakilan pusat yang berjumlah 2,377 orang boleh mendaftar sehari lebih awal di Wisma MCA dari 3 petang hingga 9 malam.

Kedua-dua pihak bersetuju dengan proses pengundian dan larangan membawa bahan kempen pada jamuan malam menjelang EGM dan semasa EGM berlangsung.

Datuk Seri Tan Chai Ho, seorang penyokong kuat Dr Chua, hadir dalam perbincangan tiga jam itu.

"Kami akan meminimumkan sebarang prosedur yang mungkin melewatkan keseluruhan proses dan keputusan akan diumumkan secepat mungkin," kata Wong.

Kiraan undi akan dijalankan hanya jika terdapat perbezaan 1 peratus daripada jumlah keseluruhan undi.

EGM itu diadakan berikutan pemecatan Dr Chua oleh Majlis Presiden pada 26 Ogos kerana mencemarkan imej parti ekoran skandal video seks.

Pemecatannya bagaimanapun dibatalkan oleh Jawatankuasa Pusat yang kemudian menggantung keanggotaannya dalam parti selama empat tahun.

Presiden MCA Datuk Seri Ong Tee Keat menerima kesemua lima usul yang dicadangkan oleh kumpulan Dr Chua untuk EGM itu, termasuk usul mengadakan undi tidak percaya terhadap Ong dan mengembalikan semula jawatan Dr Chua. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

7 Oktober hari perdamaian PAS-DAP?

Artikel Lain