suria

Beberapa isu kaum India selesai - Subramaniam

PUTRAJAYA: Beberapa isu sosial, ekonomi dan pendidikan membabitkan kaum India yang telah berlanjutan dan tertangguh kini selesai hasil campur tangan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, kata Naib Presiden MIC Datuk S. Subramaniam hari ini.

Beliau berkata mesyuarat ketiga Jawatankuasa Kabinet Mengenai Hal Ehwal Kaum India yang dipengerusikan Najib di sini semalam telah mengarahkan beberapa jabatan dan agensi kerajaan yang berkaitan menangani isuisu berkenaan dengan segera.

"Kami (MIC) membangkitkan beberapa perkara untuk diluluskan dan kebanyakan daripada perkara itu mendapat persetujuan Perdana Menteri," kata Menteri Sumber Manusia itu dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata kementeriannya, yang bertindak sebagai Sekretariat bagi Jawatankuasa Kabinet itu, akan segera membuat tindakan susulan dengan jabatan dan agensi berkenaan.

Mengenai pembangunan semula sekolah-sekolah Tamil, Dr Subramaniam berkata Najib telah meluluskan, secara dasarnya beberapa peruntukan tambahan berikutan peningkatan kos yang terbabit dalam kerjakerja pembangunan semula.

Beliau berkata Perdana Menteri mengarahkan Kementerian Kewangan, Kementerian Pelajaran dan Kementerian Kerja Raya untuk berbincang dengan Unit Perancang Ekonomi bagi mencari jalan mengatasi kos tambahan sebanyak RM65 juta yang melebihi peruntukan asal RM100 juta bagi tujuan itu.

"Perdana Menteri turut mengarahkan Kementerian Pengajian Tinggi untuk mempertimbangkan beberapa kursus prauniversiti bagi membolehkan lebih ramai pelajar, khususnya kaum India, memasuki universiti awam," kata beliau.

Najib juga mahu Jabatan Perkhidmatan Awam dan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam untuk segera mencapai sasaran pengambilan 7.4 pengambilan kaum India dalam perkhidmatan awam, katanya.

Katanya lebih banyak peluang pekerjaan akan diwujudkan kepada kaum India di syarikatsyarikat berkaitan kerajaan. BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain