suria

Sepasang kekasih ditemui mati di Penampang Baru

KOTA KINABALU: Sepasang kekasih ditemui mati di luar rumah sewa mereka di kampung Penampang Baru, Jalan Sulaman dekat sini semalam.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Supt Rowell Marung berkata Budi Santoso, 30, seorang warga Indonesia, dipercayai bertindak membunuh diri selepas dipercayai mengelar leher kekasihnya Milda Kunda, 29, dalam kejadian kira-kira 11 malam semalam.

Katanya pasangan kekasih itu yang baru empat bulan menyewa di rumah berkenaan dikatakan sering bertengkar sebelum ini.

"Mayat lelaki dan wanita berkenaan ditemui dalam keadaan berlumuran darah oleh penduduk kampung yang seterusnya memaklumkan kepada polis.

"Terdapat kesan kecederaan pada kedua-dua mangsa dipercayai menggunakan senjata tajam, antaranya kesan kelar di leher mangsa wanita dan kesan tikaman di perut mangsa lelaki," katanya.

Rowell berkata polis turut menemui sebilah parang di sebelah mayat Budi.

Katanya mayat mangsa dihantar ke Hospital Queen Elizabeth Kota Kinabalu untuk dibedah siasat.

Rowell berkata polis tidak menolak kemungkinan motif kejadian itu berpunca daripada perasaan cemburu. Kes itu disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain