Perompak larikan barang kemas bernilai hampir RM150,000 - Semasa | mStar

Perompak larikan barang kemas bernilai hampir RM150,000

KUALA LUMPUR: Tiga perompak dengan dua daripada mereka bersenjatakan pistol berjaya melarikan sejumlah barang kemas bernilai hampir RM150,000 dari sebuah kedai emas di sebuah pasar raya di Taman Connaught, Cheras, di sini, semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur Datuk Ku Chin Wah berkata dalam kejadian yang berlaku kira-kira pukul 7.30 malam itu, kesemua suspek yang tidak memakai sebarang topeng menyerbu kedai emas itu dan terus melepaskan beberapa das tembakan amaran ke udara.

"Mereka kemudian dengan pantas melarikan tiga dulang barang kemas yang dimasukkan ke dalam dua beg.

"Namun ketika cuba melarikan diri, salah seorang suspek tercicir satu dari dua beg itu," katanya.

Beliau berkata tiada sebarang kecederaan menimpa pekerja kedai emas itu.

Katanya polis akan menyiasat kes itu berpandukan maklumat dari kamera litar tertutup yang dipasang di dalam pasar raya itu. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Berkaitan

Artikel Lain