suria

587 kes sakit seperti gejala influenza masih dirawat

KUALA LUMPUR: Sebanyak 587 pesakit penyakit seperti Influenza (ILI) setakat ini masih dirawat di 74 hospital termasuk 10 hospital swasta di seluruh negara, menurut Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Mohd Ismail Merican.

Daripada jumlah tersebut, hanya 169 pesakit atau 29 peratus merupakan kes Influenza A(H1N1) yang disahkan melalui ujian makmal, kata beliau dalam laman web Kementerian Kesihatan di sini hari ini.

Bagaimanapaun tiada kematian Influenza A(H1N1) didaftarkan dan jumlah terkumpul adalah kekal pada 77 kematian.

Daripada jumlah kes ILI yang sedang dirawat, 28 kes pesakit dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan daripada jumlah itu seramai 26 dirawat di ICU kerana mempunyai faktor risiko iaitu seperti berikut, kanak-kanak bawah lima tahun (9), penyakit kronik (5), obesiti (6), penyakit respiratori kronik (4) dan hamil (2), katanya.

Di peringkat global, katanya laporan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menyatakan setakat Jumaat lepas, lebih 296,471 kes Influenza A(H1N1) di seluruh dunia dengan sekurang-kurangnya 3,486 kematian.

Beliau juga menyeru supaya mengamalkan langkah-langkah bijak untuk mencegah dan mengawal penularan Influenza A(H1N1) semasa musim perayaan ini seperti mendapatkan rawatan segera di klinik terdekat, amalan kesihatan yang baik dengan minum air yang secukupnya, menyediakan kemudahan membersih tangan serta tempat membuang sampah.

Langkah terbaik bagi mereka yang sedang menangani penyakit ILI dan selepas mendapatkan rawatan segera daripada doktor, berehat di rumah dan mengurangkan pergaulan rapat dengan anggota keluarga sehinggalah bebas daripada semua simptom ILI, katanya. BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain