suria

Malaysia tidak wajar dilabel eksport pengganas - Najib

PUTRAJAYA: Perdana Menteri berkata Malaysia tidak wajar dilabel sebagai negara yang mengeksport pengganas kerana masalah itu adalah permasalahan serantau yang turut berlaku kepada negara lain di peringkat global.

Datuk Seri Najib Tun Razak berkata tindakan saling menuding jari dan menyalahkan antara satu sama lain adalah tidak menguntungkan kerana isu pengganas bukan soal yang hanya melibatkan negara tertentu.

"Kalau kita nak menuding jari, itu tidaklah menguntungkan. Begitu juga dengan insiden 11 September, berlaku di Amerika Syarikat, tetapi pengganasnya datang dari negara luar. Ini menunjukan kita semua menghadapi soal global, bukan soal yang berkaitan dengan sesebuah negara sahaja," katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kematian anggota militan yang paling dikehendaki di Asia Tenggara, Noordin Mohammad Top dalam satu serangan di pekan Solo, Jawa Tengah pada Khamis.

Noordin, anggota Jemaah Islamiah (JI) semasa hayatnya ialah perancang utama kepada beberapa siri letupan bom di Bali dan Jakarta yang meragut ratusan nyawa. Perdana Menteri berkata masalah seumpama itu bukan sahaja memerlukan kerjasama antara negara terlibat malah turut mencakupi kerjasama di peringkat antarabangsa.

"Noordin ini sebenarnya telah dipengaruhi oleh Abu Bakar Bashir, seorang warganegara Indonesia, jadi nak kata kita eksport pengganas pun tak boleh juga sebab dia dipengaruhi oleh Abu Bakar Bashir dari Indonesia yang telah membuka satu sekolah agama di Ulu Tiram, Johor. Itu asal-usulnya.

"Tapi seperti mana kita tahu, masalah keganasan ini ialah masalah serantau dan global, ia tidak mengenali sempadan, jadi apapun kita mesti bekerjasama antara keduadua negara malahan di peringkat antarabangsa kalau kita nak membanteras ancaman ini," katanya. BERNAMA

Artikel Sebelum

Umat Islam sambut Aidilfitri Ahad

Artikel Berikut

Artikel Lain