suria

Mahkamah Syariah tangguh hukuman sebat pasangan kekasih

SHAH ALAM: Mahkamah Tinggi Syariah di sini membenarkan penangguhan pelaksanaan hukuman sebatan enam kali ke atas pasangan kekasih yang merupakan individu pertama dijatuhi hukuman sebatan mengikut Enakmen Jenayah Syariah Selangor 1995 kerana cuba melakukan persetubuhan luar nikah di dalam sebuah kereta, Mei lepas.

Hakim Syarie Mohammad Khalid Shaee@ Shaii membuat keputusan tersebut setelah membenarkan permohonan peguam syarie Shahida Elias yang mewakili kedua-dua tertuduh, Mohd Shahrin Abd Majid, 29, dan pasangannya Nadiah Najat Hussin, 24.

Kedua-dua tertuduh yang bekerja di syarikat swasta diperintahkan mengemukakan dua penjamin, sementara menunggu proses rayuan tamat dan diarahkan memfailkan rayuan dalam masa 14 hari bermula hari ini.

Mohammad Khalid juga menasihati keduadua tertuduh untuk segera berkahwin memandangkan dalam rayuan sebelum ini, mereka menyatakan akan bertunang selepas raya dan berkahwin 20 Feb tahun depan.

"Senangnya menikah tidak sampai lima minit. Kalau sudah menikah, tiada masalah. Kamu masih muda. Lepas raya, minta izin daripada bapa dia (merujuk kepada Nadiah Najat) untuk bernikah," katanya.

Mohammad Khalid turut menerangkan kepada keduadua tertuduh sekiranya rayuan mereka ditolak kelak, mereka perlu dimasukkan ke dalam penjara bagi membolehkan hukuman sebat dijalankan.

Semalam, mahkamah itu menjatuhkan hukuman denda RM5,000 atau penjara 12 bulan dan enam sebatan ke atas pasangan itu setelah mereka mengaku bersalah cuba melakukan persetubuhan luar nikah di dalam sebuah kereta di tempat letak kereta Kompleks PKNS di sini, pada pukul 7.15 malam, 16 Mei lepas.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 26, Enakmen Jenayah Syariah Selangor Nombor 9, 1995 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM5,000, penjara tidak melebihi tiga tahun, enam sebatan atau dua daripadanya.

Kedua-duanya telah membayar denda semalam. Menurut fakta kes, ketika ditemui keduadua tertuduh hanya berpakaian dalam.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Syarie dari Jabatan Agama Islam Selangor Shafezan Rusli. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain