suria

Pembunuhan bekas Ketua Umno Cawangan Felda Mengkawang disiasat dari pelbagai sudut

KUALA TERENGGANU: Polis akan menyiasat daripada pelbagai sudut berhubung pembunuhan terhadap bekas Ketua Umno Cawangan Felda Mengkawang, Asimah Abdul Rahman, 51, semalam. Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, Supt K.Manoharan berkata pihaknya turut akan menggunakan khidmat pakar forensik bagi mengesan bukti dan punca kejadian.

"Jangan buat sebarang spekulasi mengenai kejadian itu kerana kita akan menyiasat daripada pelbagai sudut. Ini termasuk latar belakang mangsa dan bertanya jiran untuk mendapat gambaran sebenar," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 3 petang itu, mayat Asimah yang juga Pengerusi Gabungan Pergerakan Wanita Umno Felda Wilayah Terengganu, ditemui dalam keadaan terlentang berlumuran darah di ruang tamu rumahnya di Felda Mengkawang, Hulu Terengganu oleh jiran.

Ketika kejadian mangsa dipercayai bersendirian manakala suaminya, Hussin Sulong, 54, keluar bekerja dan anakanaknya tiada di rumah.

Manoharan berkata mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Daerah Hulu Terengganu untuk bedah siasat dan punca kematian disebabkan kecederaan parah di bahagian leher akibat ditikam dengan objek tajam.

Beliau berkata polis mengesyaki Asimah disamun sebelum dibunuh kerana beberapa barang kemas yang dipakai mangsa hilang selepas kejadian tersebut.

Sehingga kini, katanya polis belum memperoleh bukti dan gerakan mengesan suspek masih diteruskan. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain