PAS tak mahu kerjasama politik tapi ummah - Setiausaha Agung - Semasa | mStar

PAS tak mahu kerjasama politik tapi ummah - Setiausaha Agung

KUALA LUMPUR: Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali berkata, parti itu menolak sebarang bentuk kerjasama politik dengan Umno.

Bagaimanapun, parti itu sedia bekerjasama dalam dua aspek yang lain iaitu 'federalisme'dan kepentingan ummah.

Dan dalam konteks ini, kata beliau, kerjasama itu tidak terhad kepada Umno sahaja.

"Kalau soal nak bincang kerjasama Umno dengan PAS dalam isu politik, memang tidak perlu diadakan apa-apa lagi perbincangan kerana kita sudah ada polisi bersama dengan PR.

"Kita sudah ada ikatan dengan PR dan kita akan menghadapi pilihan raya umum ke-13 bersama-sama untuk menentang BN," katanya dalam satu sidang media di Ibu Pejabat PAS di Jalan Raja Laut, tengah hari Rabu.

Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak bahawa Umno bersedia untuk berunding dengan PAS demi kepentingan umat Islam di negara ini.

Kelmarin,Najib yang juga Presiden Umno berkata,parti itu sedia untuk berunding dan mengadakan perbincangan dengan PAS demi masa depan umat Islam.

Namun tegasnya, dalam usaha ke arah itu beliau tidak rela Umno dan mereka yang menyokong parti itu dihina, dipersoal dan diperkecilkan oleh mana-mana pihak.

Bagaimanapun, Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menegaskan pintu rundingan di antara PAS dan UMNO mengenai masa depan Islam dan ummah di negara ini sudah tertutup rapat.

Beliau berkata, soal itu telah berlalu dan tidak perlu dibangkitkan lagi kerana sudah tidak ada lagi apa-apa perkara yang hendak dirundingkan.

Menteri Besar itu sebaliknya berkata, pihaknya bersedia mengadakan rundingan jika ia berkaitan isu pemberian royalti minyak kepada kerajaan PAS Kelantan.

Mengulas lanjut mengenai isu berkenaan, Mustafa yang juga bekas Pesuruhjaya PAS Terengganu berkata, dalam konteks hubungan kerjasama 'federalisme' antara kerajaan pusat dan kerajaan negeri PAS akan menerimanya kerana parti itu memimpin dua negeri iaitu Kedah dan Kelantan sementara Umno menjadi teras kepada pemerintahan kerajaan pusat.

"Dalam konteks ini, bukan sahaja perlu ada hubungan tapi perlu dipertingkatkan untuk kepentingan rakyat kerana banyak isu yang berkait dengan pembangunan negeri kerana peruntukkannya diperolehi daripada kerajaan pusat," katanya.

Kata Mustafa, dalam perkara yang berkaitan dengan kepentingan negara dan ummmah, PAS boleh berbincang dengan mana-mana pihak. "Contohnya isu Palestin. Pendirian seluruh rakyat Malaysia tetap sama dalam menentang keganasan.

"Kita boleh bekerjasama dengan parti-parti yang ada di Malaysia, dalam isu kepentingan ummah dan negara ini kita tidak ada batasan.

"Saya sendiri tidak jelas dengan kenyataan Najib, peringkat kerjasama yang bagaimana yang beliau maksudkan. Kalau soal kerjasama dari sudut hubungan kerajaan pusat dan negeri, kita (PAS) tidak ada masalah dari polisi sedemikian," katanya.

Dalam perkembangan lain, ketika diminta mengulas mengenai kenyataan Penasihat DAP, Lim Kit Siang bahawa hubungan PR tidak akan kekal lama ekoran beberapa masalah dalaman yang gagal diselesaikan oleh mereka, Mustafa berkata, adalah terlalu awal untuk berkata sedemikian.

"Masih terlalu awal untuk kita bercakap mengenai masa depan kerjasama PR. Saya boleh berbeza dengan Kit Siang dalam hal ini.

"Apa yang perlu kita buat adalah bagaimana hendak perkukuhkan PR dan tidak sepatuntya menjangka ia (PR) akan berpecah," katanya.

Namun Mustafa, mengakui bahawa PR ialah sebuah gabungan yang longgar kerana ia tidak didaftarkan sebagai sebuah parti atau organisasi.

"Namun dalam beberapa pilihan raya kecil kita telah bersama dan insya-Allah kita akan bersama dalam pilihan raya umum ke-13 nanti," katanya.

Semalam, Kit Siang yang juga Ahli Parlimen Ipoh Timur berkata kenyakinan rakyat terhadap PR semakin terhakis ekoran masalah dalaman yang dihadapi oleh gabungan itu.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

PAS umum calon Bagan Pinang lepas raya

Artikel Berkaitan

Artikel Lain