suria

Ibu tunggal dan warga tua terharu dikunjungi Perdana Menteri

KUANTAN: Warga tua dan ibu tunggal di beberapa kampung di daerah ini dan Pekan yang menerima kunjungan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini berasa terharu dengan kesudian pemimpin nombor satu negara itu menziarahi mereka di samping menghulurkan bantuan peribadi.

Mereka tidak menyangka perdana menteri sudi singgah ke rumah mereka dan bertanya khabar nasib mereka.

Zulaikha @ Dahlia Yong, 34, berkata dia sama sekali tidak menyangka rumahnya dikunjungi seorang Perdana Menteri.

"Saya berterima kasih dengan sumbangan yang diberikan, sumbangan ini amat bermakna kepada saya dan keluarga menjelangnya Syawal nanti," kata ibu kepada lima anak yang baru kehilangan suaminya yang meninggal dunia akibat serangan jantung pada April lepas.

Ketika ditemui pemberita, Zulaikha yang tinggal di Kampung Padang Jaya 1, dekat sini berkata sekalipun hidup susah, dia bukanlah bersikap memintaminta, namun bantuan yang diberikan Perdana Menteri berupa sumbangan wang tunai dan makanan itu amat menyentuh perasaannya.

"Saya bekerja mengambil upah menjahit selain turut mendapat bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat untuk membesarkan anakanak," katanya.

Zainab Abdullah, 55, pula berkata kunjungan Perdana Menteri ke rumahnya di Kampung Seri Damai agak mengejutkan mereka sekeluarga. "Sumbangan dan bantuan Perdana Menteri yang diberikan ini dapat juga kami sekeluarga menyiapkan persiapan menjelang hari raya nanti," katanya yang ternyata begitu terharu menerima kunjungan Perdana Menteri.

Seorang lagi ibu tunggal Rogayah Hitam, 45, yang turut menerima sumbangan menganggap bantuan itu cukup bermakna kerana diterima daripada seorang Perdana Menteri.

Rogayah yang mempunyai tiga anak berkata, walaupun Perdana Menteri mempunyai jadual kerja yang ketat namun tanggungjawab kepada kebajikan masyarakat tetap di utamakan.

"Bantuan ini juga dapat memberi sedikit kelegaan kepada keluarga saya lebihlebih lagi dalam bulan puasa ini," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Bentan, Pekan.

Najib kemudiannya turut menyampaikan bantuan kepada mangsa kejadian ribut yang berlaku Jumaat lepas di lima buah kampung di Pekan.

Sebanyak 28 buah rumah rosak teruk di bahagian atap, bumbung dan pendawaian elektrik serta peralatan rumah di lima buah kampung iaitu di Kampung Panchor, Pulau Enjin, Pahang Tua, Pulau Jawa dan Pekan Lama.

Najib yang ditemui pemberita selepas menziarahi beberapa buah rumah warga tua yang uzur dan ibu tunggal itu berkata kaedah menziarah itu merupakan amalannya sejak sekian lama sebagai anggota Parlimen Pekan.

"Saya dapati cara ini sangat berkesan kerana saya dapat melihat keadaan itu sendiri, dan menemui penghuni rumah berkenaan yang memerlukan bantuan kerajaan mahupun bantuan Yayasan Rahah," katanya.

Perdana Menteri berkata menerusi pendekataan itu juga beliau akan mengenal pasti bentuk bantuan yang sewajarnya diberikan kepada mereka terbabit. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain