suria

Tee Keat arah adakan EGM MCA

KUALA LUMPUR: Presiden MCA, Datuk Seri Ong Tee Keat telah mengarahkan supaya diadakan mesyuarat agung luar biasa (EGM) parti, seminggu selepas parti itu memecat Timbalan Presiden, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek.

Ong mengeluarkan arahan itu kepada Setiausaha Agung parti, Datuk Wong Foon Ming pada pagi ini, kata setiausaha politik Ong, Simon Lim.

Wong, semasa dihubungi mengesahkan yang beliau telah menerima arahan daripada Ong supaya diadakan EGM dalam tempoh 30 hari dan beliau sedang dalam proses menetapkan tarikh itu.

"Kami sedang dalam proses menetapkan tarikh, masa dan venue bagi EGM. Saya berharap kami dapat menetapkan semua itu pada hari ini juga dan notis boleh dikeluarkan esok," katanya kepada Bernama.

Agenda EGM masih belum ditetapkan lagi tetapi Bernama difahamkan antara yang utama ialah usaha mendapatkan sokongan perwakilan terhadap keputusan Majlis Presiden memecat Dr. Chua dan undi percaya terhadap kepimpinan Ong.

Keputusan Ong untuk mengadakan EGM itu dibuat ekoran bantahan oleh penyokong Dr. Chua yang telah melancarkan kempen mengumpulkan tandatangan di kalangan perwakilan parti supaya diadakan EGM.

Mengikut perlembagaan parti, EGM boleh diadakan melalui tiga kaedah persetujuan satu pertiga perwakilan, arahan daripada presiden parti, atau persetujuan satu pertiga anggota jawatankuasa pusat parti.

Orang dalaman parti berkata EGM itu kemungkinan besar diadakan selepas Aidilfitri dan tarikhnya mungkin 27 September kerana presiden parti telah menyusun siri taklimat kepada pemimpin, perwakilan dan anggota parti sehingga pertengahan bulan depan.

EGM yang bakal diadakan itu adalah yang ketiga sejak parti itu mengadakan EGM "terkenal" pada 24 Jun 2001 bagi menyokong pembelian Nanyang Press Holdings Bhd oleh cabang pelaburan parti, Huaren Holdings Sdn Bhd.

Parti itu telah mengadakan EGM pada 27 Mei, 2007 untuk meminda perlembagaan parti bagi menangguhkan pemilihan parti sebelum pilihan raya umum tahun lepas dan pada 19 November 2004 untuk meluluskan pindaan perlembagaan untuk mengehadkan jumlah perwakilan pusat ke perhimpunan agung kepada 2,400.

Dr, Chua dalam reaksi segeranya memberitahu Bernama yang beliau akan menunggu sehingga parti menetapkan agenda sebelum memutuskan sama ada penyokongnya akan menghadiri EGM itu.

Pemerhati parti berkata terdapat dua kemungkinan selepas ini iaitu penyokong Dr Chua mungkin menghadiri EGM yang diarah diadakan oleh presiden atau mengadakan EGM mereka sendiri jika mereka tidak berpuas hati dengan agenda yang ditetapkan setiausaha agung parti.

"Jika mereka menghadirinya, dengan itu kita akan menyaksikan satu EGM sahaja. Jika mereka mengadakan dua EGM, dengan itu kita akan menyaksikan berulangnya apa yang berlaku dalam PPP (Parti Progresif Penduduk) baru-baru ini," katanya.

Sementara itu, Ketua Wanita MCA, Datin Paduka Chew Mei Fun berkata EGM yang akan diadakan adalah satu pendekatan yang baik untuk memberi peluang kepada semua perwakilan menyuarakan pandangan mereka berhubung pemecatan Dr Chua.

Beliau berkata keperluan mengadakan EGM itu adalah penting dalam sebuah parti yang mempamerkan demokrasi berperlembagaan.

Keputusan yang diperolehi dari EGM itu akan dirujuk kepada peguam untuk melihat sama ada ia mengikut ketetapan perlembagaan parti, katanya ketika ditemui selepas menghadiri majlis "88 Taiwan Typhoon Memorial" di Chempaka Buddhist Lodge (CBL) di sini hari ini. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain