suria

Ramli Yusoff buat laporan polis berhubung akaun CDS

KUALA LUMPUR: Bekas Pengarah Jenayah Komersil Datuk Ramli Yusuff telah membuat laporan polis dan aduan dengan Suruhanjaya Sekuriti bahawa seseorang mungkin, secara haram, menggunakan akaun uruniaga sistem pemegang simpanan pusat dormannya (CDS) untuk urusniaga saham.

Ramli, 58, dalam laporan polisnya pada 17 Ogos dan aduan pada 6 Ogos menyebut bahawa beliau membuka akaun urusniaga dengan Kuala Lumpur Securities Sdn Bhd pada 1999 (sekarang dikenali sebagai Alliance Investment Bank Berhad).

Bagaimanapun, katanya, beliau tidak pernah menjalankan urusniaga saham melalui akaun itu dan ia kekal tidak aktif sehingga 14 Julai tahun ini apabila seorang remisier memberi keterangan di Mahkamah Sesyen bahawa beliau (Ramli) memiliki 154,000 saham Permaju Industries Berhad dan menggunakan akaun itu untuk menjalankan urusniaga.

Ramli berkata beliau "terkejut" dengan testimoni Tan Jo Yei dari Kuala Lumpur City Securities Sdn Bhd dan memutuskan untuk membuat laporan kerana beliau mengesyaki seseorang mungkin menggunakan akaun dormannya untuk menjalankan urusniaga tanpa pengetahuannya.

Dalam laporan polis itu, Ramli mengulangi bahawa beliau telah meneliti rekod peribadinya dan tidak pernah memberi sebarang arahan atau membuat bayaran berhubung sebarang urusan dalam urusniaga saham Permaju Industries Bhd.

Semasa testimoninya pada 14 Julai, Tan tidak menolak bahawa seseorang mungkin telah menggunakan akaun Ramli.

Pada hari itu, Tan juga bersetuju dengan peguam Datuk Muhammad Shafee Abdullah bahawa beliau mungkin telah menerima arahan daripada seseorang yang menyamar sebagai Ramli dalam pembelian dan jualan saham Permaju Industries Berhad yang didakwa dimiliki oleh Ramli.

Ramli didakwa gagal mengisytiharkan pemilikan 20,000 saham Telekom Malaysia Berhad, 154,000 saham Permaju Industries Berhad dan kepentingan dalam dua ruang pejabat bernilai RM1,032,840.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di pejabat Timbalan Pendakwa Raya, Ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) (sebelum itu Badan Pencegah Rasuah) di Putrajaya pada 17 Sept, 2007. BERNAMA

Artikel Lain