suria

Umno Selangor dan penduduk Seksyen 23 akan failkan injuksi pemindahan kuil

SHAH ALAM: Badan Perhubungan UMNO Selangor bersama Badan Bertindak Pembantahan pembinaan Kuil Seksyen 23 akan mendapatkan perintah injunksi bagi menghalang pemindahan kuil Sri Maha Mariamman dari Seksyen 19 ke tapak seluas 0.2 hektar di Seksyen 23, di sini, kata Timbalan Pengerusinya Datuk Noh Omar.

Noh yang juga Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani berkata Umno menyerahkan perkara itu kepada mahkamah dan akan menerima sebarang keputusannya.

"Kita (UMNO Selangor) akan bersamasama dengan penduduk untuk memfailkan injunksi. Saya telah menghubungi peguam dan bercakap dengan mereka yang bersedia membantu untuk dapatkan injunksi," katanya kepada pemberita selepas melawat tapak cadangan kuil itu dan menerima memorandum bantahan dari wakil penduduk di sini semalam.

Memorandum itu disampaikan oleh Pengerusi Badan Bertindak Pembantahan Kuil itu Ahmad Mahyuddin Abdul Manaf untuk disampaikan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang juga Presiden Umno dan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Selangor.

Sebelum ini, pemindahan kuil itu mendapat bantahan daripada penduduk Islam di penempatan berhampiran dan memorandum bantahan telah disampaikan kepada Anggota Dewan Undangan Negeri Batu Tiga Rodziah Ismail, Pesuruhjaya Pas Selangor Datuk Dr Hasan Mohamed Ali, Pengerusi Jawatankuasa Rumah Ibadat Bukan Islam Dr Xavier Jayakumar dan Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Noh berkata pendudukpenduduk di sini yang majoritinya beragama Islam nampaknya sudah tidak tidak mempunyai tempat mengadu kerana memorandum bantahan yang dihantar kepada pemimpinpemimpin kerajaan negeri termasuk Menteri Besar, sebelum ini tidak dilayan.

Sebaliknya, Abdul Khalid dilaporkan meminta penduduk Seksyen 23 supaya bertimbang rasa menerima keputusan kerajaan negeri membina kuil di tapak baru berhampiran taman perumahan itu.

Dr Xavier dilaporkan berkata pembinaan kuil itu jauh daripada kawasan penempatan penduduk dan tidak seharusnya menimbulkan masalah sementara pandangan pihak tertentu mengenai isu itu tidak menunjukkan semangat 1Malaysia seperti yang dicetuskan oleh Najib.

Bagaimanapun, Noh berkata Dr Xavier mungkin kurang faham konsep 1Malaysia kerana kebebasan beragama memang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan tetapi ia mestilah diamalkan di dalam keadaan yang harmoni dan aman.

Noh berkata pembinaan rumah ibadat perlu mengambil kira sensitiviti penduduk setempat kerana 70 peratus daripada penduduk taman berhampiran tapak cadangan kuil itu adalah beragama Islam dan fakta itu perlu diambil kira oleh kerajaan negeri. BERNAMA

Artikel Lain