suria

Kes mesin judi berkomputer di sekitar PJ meningkat

PETALING JAYA: Polis Petaling Jaya berjaya merampas 3,305 buah mesin judi berkomputer dan menahan 173 orang daripada 209 serbuan yang dijalankan sepanjang enam bulan pertama tahun ini.

Daripada jumlah itu 103 orang telah dibawa ke mahkamah, kata Ketua Polis Petaling Jaya ACP Arjunaidi Mohamed.

Beliau berkata kegiatan perjudian menerusi mesin judi berkomputer di sekitar Petaling Jaya menunjukkan peningkatan walaupun polis menjalankan serbuan hampir setiap hari.

"Mereka yang terlibat tidak takut pada undang-undang dan sanggup mencaturkan nasib dalam perniagaan ini.

"Selain itu terdapatnya permintaan dari terutama di kalangan mereka yang di bawah umur menyebabkan kegiatan ini sukar dihapuskan," katanya kepada pemberita selepas Pelancaran Pelupusan Barang Kes Mesin Komputer Perjudian tahun 2009 di sini semalam.

Pada majlis tersebut sebanyak 1,022 buah komputer yang digunakan bagi aktivitiaktiviti perjudian di sekitar Daerah Petaling Jaya sepanjang tahun 2007 dan 2008 dilupuskan.

Arjunaidi berkata polis akan membuat serbuan setiap hari ke atas premispremis yang menjalankan kegiatan tersebut bagi memastikan kegiatan itu tidak berleluasa.

"Kita (polis) akan menyita premis tersebut serta memutuskan bekalan air dan letrik. Pihak kami akan memastikan mereka yang terlibat dikenakan hukuman yang setimpal," katanya.

Kesemua barangan yang dilupuskan itu adalah hasil daripada 74 operasi yang dijalankan oleh Cawangan Kongsi Gelap dan Perjudian, Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Petaling Jaya.

Turut hadir Majistret Mahkamah Petaling Jaya Ho Kwong Chin, Timbalan Pendakwa Raya Selangor Isa Hassim dan Pengarah Jabatan Penguatkuasa dan Keselamatan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) Mohd Fausi Maarof. BERNAMA

Artikel Lain