suria

Dua pekerja kilang hidu gas ammonia bocor

JOHOR BAHRU: Dua pekerja kilang membuat ketulan ais dikejarkan ke Hospital Sultanah Aminah selepas terhidu gas ammonia yang bocor dari paip penyambung sistem penyejuk kilang itu di Tampoi di sini Jumaat.

Ketua Operasi Unit Hazmat, Balai Bomba dan Penyelamat Larkin, Mohd Sahari Noor berkata pekerja warga Myanmar dan Bangladesh berusia 20an itu berada dalam keadaan lemah dan sesak nafas.

Bomba menerima panggilan kecemasan pada 5.30 pagi tadi, katanya ketika ditemui pemberita di kilang itu.

Mohd Sahari berkata operasi melarutkan gas ammonia itu selesai tengah hari dengan menggunakan tembakan air.

Katanya siasatan terperinci terhadap punca kebocoran sedang dijalankan dan kilang tersebut akan ditutup sementara sehingga dipastikan selamat.

Pada Selasa lepas enam lelaki, empat rakyat tempatan dan dua Bangladesh, meninggal dunia setelah terhidu gas dipercayai ammonia yang bocor dari sistem penyejuk di sebuah kolah menyimpan ikan di Kampung Bagan Pasir, Tanjung Karang, Selangor. BERNAMA

Artikel Lain