suria

Kes liwat: Anwar failkan permohonan lucutkan kelayakan pasukan pendakwaan

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam memfailkan permohonan untuk melucutkan kelayakan seluruh pasukan pendakwaan dalam kes liwatnya itu, menyatakan "wujud bahaya sebenar bagi berat sebelah" sebagai satu daripada alasannya.

Anwar memfailkan permohonan bagi semakan kehakiman melalui firma S.N.Nair and Partners di pejabat pendaftar Mahkamah Tinggi Jenayah di sini.

Beliau menamakan Peguam Cara I Datuk Idrus Harun, Peguam Cara II Datuk Mohamed Yusof Zainal Abiden, para Timbalan Pendakwa Raya Datuk Nordin Hassan, Mohamad Hanafiah Zakaria, Wong Chiang Kiat, Shamsul Sulaiman dan Noorin Badaruddin, Pendakwa Raya dan Kerajaan sebagai responden.

Anwar menyatakan tindakan Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail yang menandatangani sijil Seksyen 418A, jelas menunjukkan hakikat yang beliau adalah orang yang bertanggungjawab bagi keadaan "main tarik tali dan manipulasi oleh pihak pendakwaan mengikut kehendaknya."

Katanya dengan membenarkan Peguam Negara untuk meneruskan keadaan itu adalah "sama seperti mempersendakan keadilan" dan dengan itu beliau tiada pilihan selain mengemukakan permohonan itu.

Beliau mendakwa beliau mempunyai kes yang kukuh dan terdapat beberapa perkara yang boleh dibangkitkan daripada segi undangundang dalam permohonannya itu.

Antara lain, beliau memohon diisytiharkan pasukan pendakwaan yang mengendalikan kes liwatnya tidak layak untuk mewakili Pendakwa Raya dan/atau menjalankan prosiding atau rayuan terhadapnya.

Anwar berkata permohonan itu dibuat kerana terdapat "kebimbangan munasabah bagi berat sebelah dan/atau wujud bahaya sebenar bagi berat sebelah" oleh para responden terhadapnya.

Anwar, 62, dituduh meliwat bekas pembantunya Mohd Saiful Bukhari Azlan, 24, di sebuah kondominium di Bukit Damansara di sini pada 26 Jun tahun lepas.

Mahkamah Tinggi menetapkan 2 September bagi sebutan perbicaraan liwat itu.

Ini merupakan permohonan keempat Anwar.

Permohonan pertama ialah untuk mengarahkan pihak pendakwaan membekalkan dokumen berkaitan kes itu kepadanya, keduanya untuk menggugurkan pertuduhan liwat dan ketiga bagi semakan kehakiman terhadap beberapa dokumen yang dibekalkan pihak pendakwaan kepadanya.

Permohonan pertamanya masih belum diselesaikan selepas pihak pendakwaan diberikan penangguhan pelaksanaan perintah Mahkamah Tinggi bagi membekalkan dokumen yang diminta Anwar sementara menunggu rayuan pihak pendakwaan diputuskan. BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain