suria

H1N1: Sabah tidak bercadang tutup ladang ternakan babi

KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri Sabah tidak bercadang menutup ladang ternakan babi di negeri itu berikutan penularan virus selesema babi atau Influenza A(H1N1) yang semakin membimbangkan.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Yahya Hussin, yang juga Menteri Pertanian dan Industri Makanan Negeri, berkata kes jangkitan virus itu berlaku dari seseorang kepada orang lain dan bukan daripada ternakan haiwan itu.

Bagaimanapun, tindakan menutup ladang tersebut hanya boleh dilakukan sekiranya ladang ternakan itu tidak memenuhi syarat dan piawaian yang ditetapkan, katanya ketika menjawab soalan Datuk Abdul Rahim Ismail (BNPantai Manis) pada persidangan Dewan Undangan Negeri Sabah di sini, hari ini.

Yahya berkata, sejak penularan virus itu April tahun ini, kementeriannya, melalui Jabatan Perkhidmatan Haiwan dan Perusahaan Ternak, telah mengambil langkahlangkah bagi memastikan ternakan babi di Sabah tidak membawa virus itu.

Antaranya ialah dengan mengambil sampel darah dan calitan hidung dari ternakan babi untuk dianalisis, katanya.

"Sebanyak 1,411 sampel calitan hidung dan 1,371 sampel darah telah diambil dari 63 ladang ternakan babi di seluruh negeri dan Wilayah Persekutuan Labuan.

"Pada masa yang sama, pemantauan klinikal juga dilaksanakan di semua daerah di mana tidak ada kes positif didapati pada ternakan babi mahupun di kalangan pekerja di semua ladang-ladang tersebut," katanya. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain