suria

Penganggur mengaku salah samun pelajar warga Indonesia

KUALA LUMPUR: Seorang penganggur mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini terhadap pertuduhan menyamun seorang pelajar sekolah menengah warga Indonesia yang bercuti di Malaysia kira-kira seminggu lalu.

Mohd Fairuz Saadom, 24, didakwa bersamasama seorang lagi yang masih bebas, menyamun Irvan Fauzi Syahputra, 18, di sebuah rumah di Lot 146, Jalan Keramat, Sentul, pada pukul 4.30 petang, 16 Julai lepas, dengan bersenjatakan sebilah pisau.

Menurut kertas pertuduhan, antara barang yang disamun dari Irvan yang tinggal di rumah abangnya ketika itu ialah sebuah laptop, sebuah telefon bimbit, sebuah dekoder broadband, tiga kamera, dan beberapa pakaian yang nilai semuanya berjumlah kira-kira RM7,000.

Bagi kesalahan itu dia didakwa di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan. Hakim Mohamad Sekeri Mamat kemudian menetapkan ikat jamin RM8,000 dan menetapkan 24 Julai untuk sebutan semula kes.

Pendakwaan dijalankan oleh Timbalan Pendakwa Raya Nurmadiana Mamat manakala Mohd Fairuz tidak diwakili peguam. BERNAMA

Artikel Lain