suria

Selangor lantik peguam ikuti prosiding Suruhanjaya Diraja dan inkues

SHAH ALAM: Kerajaan Selangor akan melantik peguam pemerhati bagi mengikuti prosiding Suruhanjaya Diraja dan inkues berhubung kematian Teoh Beng Hock, Setiausaha Politik kepada seorang anggota Exco Selangor, di tingkat lima bangunan Plaza Masalam di sini, Khamis lepas.

Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata langkah itu perlu memandangkan mendiang Teoh adalah pegawai kerajaan negeri dan juga untuk memastikan hak-hak mendiang dan keluarganya terbela.

"Kerajaan negeri bagaimanapun kesal dengan keputusan yang menghadkan siasatan Suruhanjaya Diraja kepada hanya memastikan sama ada hak asasi mendiang Teoh telah dicabul ketika beliau disoal siasat oleh SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia).

"Kerajaan negeri percaya Suruhanjaya Diraja perlu dipertanggungjawabkan untuk menyiasat kematian Teoh dan bukannya inkues seperti yang diputuskan oleh Kerajaan Persekutuan hari ini," katanya dalam satu kenyataan akhbar di sini hari ini.

Kabinet hari ini memutuskan satu inkues yang diketuai oleh seorang majistret akan dijalankan minggu depan bagi menentukan punca kematian Teoh.

Kabinet turut memutuskan satu Suruhanjaya Diraja diwujudkan dengan terma-terma khusus iaitu meneliti dan mengkaji peraturan berkaitan soal siasat yang diguna pakai SPRM dan menentukan sama ada berlaku pencabulan hak asasi semasa proses soal siasat terhadap Teoh bagi memastikan perkara yang sama tidak berulang.

Abdul Khalid dalam pada itu turut mempersoalkan keperluan untuk mengguna dua prosiding berlainan bagi menyiasat perkara yang berkait rapat dan melibatkan saksi-saksi yang sama.

"Kita telah meminta satu Suruhanjaya Diraja menyiasat kematian Teoh dan juga kredibiliti SPRM. Kita merasakan Suruhanjaya Diraja adalah prosiding yang terbaik bagi memastikan keadilan untuk mendiang dan keluarganya," katanya.

Terdahulu, bercakap dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Exco kerajaan negeri, Abdul Khalid berkata pihaknya telah mengarahkan semua pegawai kerajaan untuk memaklumkan kepada Penasihat Undang-undang kerajaan negeri sekiranya mereka dipanggil oleh SPRM bagi membantu siasatan.

"Kerajaan juga akan melantik satu panel peguam untuk membantu mana-mana pegawai kerajaan yang disoal siasat," katanya.

Mayat Teoh, 30, yang merupakan Setiausaha Politik kepada Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kampung Baru dan Pengurusan Kilang Haram Ean Yong Hian Wah, ditemui pada pukul 1.30 tengah hari selepas memberi keterangan beberapa jam sebelum itu sebagai saksi siasatan penyalahgunaan wang kerajaan negeri Selangor kepada SPRM. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain