suria

Buruh binaan maut ditetak dengan sabit

KUALA LUMPUR: Mayat seorang lelaki ditemui dengan kesan tetakan di kepala dan leher di hadapan sebuah rumah teres dua tingkat di Jalan Mulia 1/2, Bukit Mulia, Ampang di sini hari ini.

Mayat lelaki dipercayai rakyat Indonesia yang dikenali sebagai Ahmad Sifero, berusia dalam lingkungan 30an ditemui terbaring di atas jalan itu oleh penduduk taman perumahan berkenaan pada kira-kira pukul 8.30 pagi.

Jurucakap polis berkata lelaki itu dikatakan diserang dua lelaki yang menaiki sebuah motosikal ketika dia bersama seorang rakannya bersiap untuk memulakan kerja pengubahsuaian rumah teres terbabit.

"Beberapa minit kemudian dua lelaki bersenjatakan sabit menghampiri mangsa dan menarik mangsa keluar dari kawasan rumah itu," katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

Beliau berkata mangsa cuba mempertahankan diri daripada diserang dua lelaki itu dengan tangan menyebabkan tapak tangan kanan mangsa terkoyak.

"Selain kecederaan pada tangan, terdapat beberapa kesan tetakan lain di bahagian tubuh mangsa termasuk di leher kanan dan di bahagian atas kepalanya.

Beliau berkata rakan mangsa melarikan diri selepas kejadian itu dan setakat ini polis belum mengenalpasti identiti rakan mangsa dan dua penyerangnya itu.

Polis menemui sebilah sabit yang dipercayai digunakan dalam kejadian itu. Turut ditemui ialah beberapa barang milik mangsa seperti sebuah motosikal jenis Yamaha, kunci motor dan telefon bimbit, katanya.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya ACP Abdul Jalil Hassan ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan berkata mayat lelaki itu dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk bedah siasat.

Sementara itu, pemilik rumah berkenaan yang hanya dikenali sebagai Mohd Yusri, 30an berkata beliau mengetahui mengenai kejadian itu selepas dimaklumkan oleh polis.

"Saya keluar rumah kira-kira pukul 7 pagi untuk menghantar ibu saya di Stesen Bas Jalan Duta sebab dia nak balik ke kampung di Kedah. Jadi saya memang tak tahu menahu mengenai kejadian itu sehingga seorang anggota polis telefon saya dan beritahu hal itu," katanya.

Beliau berkata pekerja-pekerja kontrak itu mula bekerja di rumahnya sejak sebulan lepas. BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain