suria

Najib tertarik dengan respons pelajar UiTM mengenai 1Malaysia

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak amat tertarik dengan respons baik yang diterimanya daripada pelajar-pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) mengenai konsep 1Malaysia yang diilhamkannya.

Beliau yang juga berpuas hati dengan lawatannya ke kampus universiti tersebut baru-baru ini berkata, pelajar-pelajar itu turut memberikan cadangan serta input dalam usaha menyebar mesej konsep 1Malaysia itu secara global.

"Saya amat tertarik dengan kumpulan pelajar ini, bermula dengan sembang biasa ia kemudiannya berubah menjadi satu perbincangan mengenai isu-isu negara yang lebih serius. Saya berbincang dengan mereka mengenai konsep 1Malaysia, dan apa yang saya bayangkan akan terjadi kepada negara apabila nilai-nilai konsep ini dapat dihayati dan dihargai bersama," katanya menerusi laman blognya www.1malaysia.com.my di sini semalam.

Najib berkata beliau dapat melihat bahawa golongan muda Malaysia yang memberikan respons itu memiliki semangat dan tekad untuk memberikan sumbangan bermakna kepada negara.

"Saya merasa optimis bahawa pelajar-pelajar ini akan menerima nasihat saya dan akan berusaha bersungguh-sungguh untuk menghayati dan menghidupkan konsep 1Malaysia ini," katanya.

Ahad lepas Najib dan isterinya Datin Seri Rosmah Mansor membuat lawatan mengejut ke UiTM, Shah Alam, dan menyertai lebih 3,000 pelajar baru dan senior melakukan senaman artistik di stadium kampus itu.

"Isteri saya dan saya tiba di Stadium UiTM petang itu, di mana ribuan pelajar yang baru mendaftar dan senior mereka baru hendak memulakan aktiviti senaman itu, sebagai salah satu program orientasi.

"Walaupun kami tidak memakai pakaian yang sesuai untuk aktiviti sukan, isteri saya dan saya mengambil keputusan untuk menyertai mereka. Kami juga mengambil peluang mengagih bungkusan makanan yang disediakan buat mereka," katanya.

Beliau berkata dengan menyertai suasana yang ceria itu, beliau mendapat peluang untuk berinteraksi lebih lanjut dengan pelajar.

Najib berkata beliau kemudiannya meninggalkan stadium itu dengan iringan sorakan 1Malaysia, dan beliau kemudiannya berjalan ke sekitar kawasan penginapan di kolej itu untuk melihat sendiri keadaan kehidupan pelajar di kampus.

"Saya benar-benar tertarik dalam interaksi kasual dengan pelajar-pelajar di bilik penginapan mereka, malah saya turut meninjau keadaan bilik air mereka. Saya terus berlegar di kawasan kolej itu dan akhirnya sampai ke kafetaria. Saya duduk dan semasa menunggu minuman, saya sempat bersembang dengan beberapa pelajar," katanya.

Katanya beliau memberitahu mereka mengenai kepentingan mendapatkan kemahiran untuk mengurus dan menilai maklumat seperti maklumatmaklumat yang diperolehi dari dunia siber.

"Dengan perkembangan teknologi yang pesat, ia menimbulkan cabaran lebih hebat dalam membezakan mana satu maklumat benar dan yang mana satu rekaan semata-mata. Perbincangan hari itu mungkin boleh berlarutan, namun ketika itu waktu Maghrib sudah hampir," katanya. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain