suria

Ibu tunggal hadapi tuduhan cederakan pembantu rumah

KUALA LUMPUR: Seorang ibu tunggal mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini terhadap dua pertuduhan menyebabkab kecederaan parah kepada pembantu rumah Indonesia, Siti Hajar Sadli.

Hau Yuan Tyng, 43, turut mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan mencedarakan mangsa menggunakan gunting.

Bagi pertuduhan pertama Hau didakwa dengan sengaja mendatangkan cedera parah kepada Siti Hajar, 33, menggunakan air panas di Lanai Kiara Condominium, Jalan Kiara 3, Mont Kiara antara 11 pagi dan 8 malam pada 7 Jun 2009.

Bagi pertuduhan kedua, di tempat yang sama sekitar bulan Februari 2009, dia didakwa menggunakan tukul besi yang menyebabkan Siti mengalami cedera parah.

Kedua-dua pertuduhan itu adalah mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda atau sebat.

Untuk pertuduhan ketiga Hau dituduh melakakan kesalahan itu di alamat yang sama pada 7 Jun menggunakan gunting untuk mencederakan mangsa.

Untuk pertuduhan ini, dia didakwa mengikut Seksyen 324, dan jika disabitkan kesalahan, boleh dipenjara sehingga tiga tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada hukuman itu.

Timbalan Pendakwa Raya Lee Keng Fatt menawarkan jaminan RM10,000 untuk setiap dua pertuduhan pertama dan RM5,000 untuk pertuduhan ketiga tetapi peguam Hau, M. Manoharan, berhujah bahawa jumlah jaminan RM25,000 adalah terlalu tinggi memandangkan tertuduh merupakan ibu tunggal dan mempunyai dua orang anak berumur 11 dan 12 tahun.

Beliau memberitahu mahkamah bahawa anak Hau yang berumur 11 tahun merupakan seorang kanak-kanak kurang upaya yang memerlukan bantuan dan pemerhatian setiap masa.

Hakim S. M. Komathy Suppiah mengenakan ikat jamin sebanyak RM15,000 dan memerintahkan Hau melaporkan diri di Balai Polis Mont Kiara sebulan sekali.

Komathy menetapkan 22 Julai untuk sebutan semula kes. BERNAMA

Artikel Lain