suria

Bekas anggota polis dicari bantu siasatan kes samun rokok

SHAH ALAM: Polis sedang mengesan seorang bekas anggota polis yang dipercayai menjadi perancang utama kes samun rokok pelbagai jenama bernilai RM40,000 dari sebuah van di Taman Perwira, Telok Panglima Garang, Banting, pada Isnin lepas.

Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar berkata suspek ialah Ashraf Rushdi Kamarudin @ Eddy, 26, yang berasal dari Kota Baharu, Kelantan.

"Suspek sebelum ini bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang dan dibuang kerja tahun lepas. Dia dipercayai perancang utama dalam kes itu," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor di sini hari ini.

Khalid berkata dalam kejadian kira-kira pukul 1.30 petang itu, empat lelaki bersenjatakan pisau dan parang yang menaiki sebuah kereta telah menyamun pemandu van vendor rokok yang sedang memunggah rokok untuk diedarkan kepada pelanggan.

Beliau berkata kesemua suspek bertindak membawa pemandu van sehingga ke Klang dan memindahkan sebanyak 385 karton rokok pelbagai jenama berjumlah kira-kira RM40,000 ke dalam kereta mereka serta turut mengambil wang kutipan rokok berjumlah kira-kira RM18,000.

"Bertindak atas maklumat, dua lelaki berumur 40 dan 46 tahun serta seorang wanita berumur 20 tahun, kesemuanya dipercayai penagih dadah kemudian telah ditangkap di sebuah hotel di Ampang tidak berapa lama selepas kejadian.

"Turut dirampas di hotel itu sebuah kereta jenis Proton Satria dan sebahagian daripada rokok yang disamun selain sebuah kereta jenis Toyoto Harrier di Hulu Klang," katanya. BERNAMA

Artikel Lain