suria

Polis Miri rampas raifel, revolver tiruan

MIRI: Polis Miri berjaya menumpaskan kegiatan penjualan senjata api tiruan dengan tertangkapnya empat orang suspek termasuk seorang wanita warga asing dalam satu serbuan semalam. Ketua Polis Daerah Miri ACP Jamaludin Ibrahim hari ini berkata sebanyak 36 pucuk senjata api tiruan berbentuk revolver dan raifel berjaya dirampas dalam serbuan pukul 4.50 petang itu yang dilakukan di sebuah gudang jualan borong di Bandar Baru Permyjaya, kira-kira 20 kilometer dari pusat bandaraya ini.

Bercakap dalam satu sidang akhbar di sini, Jamaludin berkata polis turut merampas empat biji kerambit, beberapa bilah pisau lipat dan mercun dalam serbuan itu.

Katanya seorang lelaki berusia 42 tahun yang menjadi pemilik premis itu bersama-sama tiga orang pekerjanya yang terdiri daripada seorang lelaki berumur 47 tahun, seorang wanita tempatan berusia 32 tahun dan seorang wanita warga asing berumur dalam lewat 30an yang berada di tempat itu ditahan untuk siasatan lanjut.

Warga asing itu turut disiasat di atas kegagalannya untuk menunjukkan sebarang dokumen pengenalan dan permit kerja yang sah.

Jamaludin berkata kes itu kini disiasat di bawah empat akta yang termasuk Akta Senjata 1960, Akta Bahan Hakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 dan Akta Imigresen 1963.

Katanya polis telah memperolehi perintah mahkamah untuk menahan lanjut suspek-suspek berkenaan.

Katanya siasatan awal setakat ini mendapati kegiatan itu telah berlaku sejak dua minggu lepas dan sudah beberapa pucuk senjata api tiruan itu telah dijual.

Beliau meminta mereka yang sudah membeli senjata api tiruan itu untuk menyerahkan kepada polis di sini kerana memiliki senjata berkenaan merupakan satu kesalahan. Menurutnya walaupun tiruan, senjata itu hampir menyerupai senjata sebenar dan mungkin digunakan untuk tujuan jenayah. BERNAMA

Artikel Lain