suria

Krisis PPP: TPM temui Kayveas dan Murugiah hari ini

PULAU PINANG: Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin akan menemui Senator Datuk T.Murugiah dan Datuk M.Kayveas hari ini untuk mendapatkan penjelasan mereka mengenai kemelut dalaman Parti Progresif Penduduk (PPP) ketika ini.

Katanya beliau mahu tahu cerita sebenar mengenai masalah yang dihadapi parti berkenaan serta status parti itu supaya tindakan segera dapat diambil bagi mengelakkan masalah itu menjadi semakin parah dan menjejaskan imej Barisan Nasional (BN).

"Saya kecewa dengan apa yang berlaku (dalam PPP) sebab kita menghadapi masalah lebih besar daripada masalah parti dalam komponen BN itu. Kita ada isu lain yang harus ditangani tetapi malangnya parti komponen ada masalah sendiri.

"Biasanya, kita tidak campur tangan tetapi kalau sampai tahap menjejaskan kewibawaan dan imej BN, kita tidak boleh abaikan atau diamkan begitu sahaja," katanya kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan dengan Badan Perhubungan Umno Pulau Pinang di sini semalam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kemelut dalaman PPP yang semakin memuncak apabila Murugiah, yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, yang sebelum ini dipecat sebagai Anggota Majlis Tertinggi parti, dipilih sebagai presiden baru parti itu pada mesyuarat agung tergempar (EGM) parti kelmarin. Pemilihan dibuat pada EGM itu oleh 1,760 perwakilan yang didakwa melibatkan lebih dua pertiga cawangan PPP di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).

Pada masa yang sama, Kayveas mempertahankan bahawa beliau masih presiden PPP yang sah dan menyelar tindakan Murugiah mengadakan EGM itu tanpa mendapatkan kelulusan Majlis Tertinggi parti.

Muhyiddin berkata Kayveas meminta untuk bertemu dengannya bagi menjelaskan kedudukan mengenai peristiwa itu dan pada masa yang sama beliau juga mahu tahu apa kesan daripada tindakan Murugiah itu. BERNAMA

Artikel Lain