suria

Mogok lapar Pakatan Perak tidak wajar - Najib

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak berkata, tindakan pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat di Perak untuk mengadakan mogok lapar bagi menggesa Dewan Undangan Negeri (DUN) itu dibubarkan adalah perkara yang tidak wajar dilakukan.

Beliau berkata, krisis politik di negeri itu seharusnya diserahkan kepada Perlembagaan dan undang-undang negara untuk diselesaikan.

"Patutnya tidak berlaku perkara seperti itu sebab kita mesti serahkan kepada proses untuk Perlembagaan dan undang-undang negara," katanya selepas merasmikan Majlis Sambutan Minggu Perpaduan 2009 Peringkat Kebangsaan, di sini, semalam.

Semalam, pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat di Perak memutuskan untuk mengadakan mogok lapar selama tiga hari bermula Selasa ini sebagai langkah menggesa DUN Perak dibubar bagi memberi laluan kepada pilihan raya negeri yang baru.

Berhubung keputusan Pakatan yang akan memfailkan rayuan di Mahkamah Persekutuan selepas Mahkamah Rayuan kelmarin mengisytiharkan Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir sebagai Menteri Besar Perak yang sah, Najib berkata, beliau berharap proses mahkamah itu akan menemui titik penyudahnya.

"Kita harap ada penyudah dari segi proses ini supaya kerajaan (negeri) dapat berkhidmat untuk rakyat.

"Saya difahamkan kemungkinan besar mereka (Pakatan) akan membuat rayuan kepada Mahkamah Persekutuan.

"Mereka ada hak buat rayuan. Kita terimalah apa jua keputusan mahkamah yang tertinggi sekali itu," katanya.

Kelmarin, Mahkamah Rayuan mengisytiharkan Zambry sebagai Menteri Besar Perak yang sah sekali gus mengenepikan keputusan Mahkamah Tinggi 11 Mei lalu yang memihak kepada Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin daripada Pakatan.

Ditanya sama ada Barisan Nasional (BN) Perak akan memanggil sidang DUN tergempar bagi menyelesaikan krisis itu, Najib berkata: "Itu satu pilihan yang terbuka tetapi tidak semestinya itu saja jalan terbuka untuk tentukan mana-mana kerajaan ada suara majoriti."

Berhubung kenyataan Ketua Umum Pakatan, Datuk Seri Anwar yang menyifatkan keputusan Mahkamah Rayuan itu adalah kepincangan kepada sistem kehakiman dan sebagai sesuatu yang dirancang kerajaan, Najib berkata, ia sama sekali tidak benar kerana keputusan mahkamah itu turut disokong oleh pakar undang-undang antarabangsa.

Justeru katanya, keputusan itu tidak seharusnya disalahertikan sehingga mewujudkan persepsi negatif kepada badan kehakiman.

"Anwar sendiri yang telah cuba menubuhkan kerajaan dengan cara yang sama apabila 31 ahli Parlimen kita cuba dipengaruhi untuk melompat parti.

"Jadi sepatutnya dia tanya diri dia sendiri daripada membuat tuduhan terhadap sistem kehakiman.

"Kita tidak boleh mengambil sikap, kalau keputusan memihak kepada kita, maka kita kata bahawa sistem kehakiman itu bebas tetapi kalau memihak kepada kerajaan, badan kehakiman itu dituduh pula sebagai mengikut telunjuk kerajaan. Itu tidak adil," katanya.

Artikel Lain