suria

Mayat tiga beranak ditemui dalam keadaan busuk, berulat

KAJANG: Misteri bau busuk di sebuah rumah teres dua tingkat di Bandar Tasik Kesuma, Semenyih di sini sejak beberapa hari lalu terjawab berikutan penemuan mayat tiga beranak awal pagi ini.

Mayat mangsa K. Kumariswari, 63, dan dua anak perempuannya K.Sathiya Dewi, 45, dan K.Rivati, 43, yang telah berbau dan berulat ditemui di tiga tempat berasingan dalam rumah itu.

Ketua Polis Daerah Kajang ACP Mohamad Shakarudin Che Mood berkata mayat seorang ibu dengan dua anak perempuannya itu ditemui kirakira pukul 10 pagi tadi oleh jiran mangsa setelah beberapa hari tidak berjumpa dengan mereka.

"Mayat Kumariswari ditemui terbaring dalam biliknya manakala dua anak perempuannya Sathiya Dewi dan Rivati ditemui di ruang tamu di tingkat bawah.

"Disebabkan kesukaran untuk membuka pintu rumah maka polis terpaksa meminta bantuan daripada menantu mangsa (ibu) yang tinggal di Mantin untuk membuka pintu rumah yang berkunci itu," katanya kepada pemberita di lokasi kejadian di sini.

Mohamad Shakarudin bagaimanapun menolak berlakunya kes pecah masuk disebabkan keadaan rumah yang tidak berselerak dan keadaan ketigatiga mayat yang tidak mempunyai sebarang unsur dicederakan.

Polis bagaimanapun masih menyiasat sama ada berlakunya keracunan makanan ataupun sebabsebab yang lain.

Mohamad Shakarudin berkata pihaknya dimaklumkan oleh keluarga mangsa bahawa Kumariswari dan Sathiya Dewi mempunyai rekod masalah mental.

Kesemua mayat dihantar ke Hospital Serdang untuk bedah siasat.

Sementara itu, menantu perempuan kepada Kumariswari, K.Vasugi, 43, berkata dia melawat ibu mertua dan iparnya setiap akhir bulan dan kali terakhir menjenguk mereka adalah pada bulan Mac yang lepas.

"Setiap akhir bulan, saya akan datang ke sini untuk mengambil surat serta memberikan duit perbelanjaan untuk kegunaan mereka seharian kerana suami (anak lelaki Kumariswari) bekerja di Dubai.

"Namun saya diberitahu mengenai kematian mereka melalui jiran mangsa yang menghubungi saya pagi tadi," katanya. BERNAMA

Artikel Sebelum

Zambry MB Perak sah

Artikel Berikut

Artikel Lain