suria

DUN Perak dibubar hanya khabar angin - Zambry

SERI ISKANDAR: Menteri Besar Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir hari ini menafikan desas-desus kononnya Dewan Undangan Negeri Perak akan dibubarkan dalam masa terdekat dan menyifatnya sebagai satu khabar angin yang sengaja dimainkan oleh pakatan pembangkang.

"Biarlah ia kekal sebagai khabar angin buat mereka kerana kita tahu memang itu (bubarkan DUN) yang mereka inginkan," katanya kepada pemberita selepas majlis perasmian sambutan Jubli Perak dan Hari Anugerah Cemerlang Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Sultan Azlan Shah, Bota dekat sini oleh Sultan Perak Sultan Azlan Shah.

Ditanya sama ada satu sidang khas DUN Perak akan diadakan pada minggu depan, Zambry berkata: "Itu juga saya anggap sebagai khabar angin."

Katanya beliau telah mengutus sepucuk surat kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak memohon peruntukan segera sebanyak RM50 juta bagi pembangunan Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah di Ipoh.

Beliau berkata peruntukan itu antara lain akan digunakan untuk memanjangkan landasan lapangan terbang itu sepanjang 200 meter lagi dari 1,798 meter ketika ini untuk membolehkan pesawat jenis Airbus mendarat di situ.

"Saya anggap ini sebagai satu projek berimpak tinggi yang memerlukan keputusan segera daripada pihak kerajaan dan saya harap Perdana Menteri akan memberikan kelulusan sebaik sahaja beliau menerima surat saya," katanya.

Zambry berkata kerajaan negeri sedang mengadakan perbincangan dengan AirAsia dan sekira segalanya berjalan lancar, ia akan menjadi syarikat penerbangan kedua selepas FireFly beroperasi di Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah.

Beliau berkata AirAsia boleh menawarkan khidmat penerbangan Ipoh ke Singapura buat permulaan selain ke Medan dan Guangzhou pada masa akan datang. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain