suria

Pengerusi Hindraf mahu pulang dari buangan

PETALING JAYA: Pengerusi Hindraf, P. Waytha Moorthy yang berada dalam buangan kendiri di London sejak 2007 mahu kembali ke tanah air ekoran lima pemimpinnya, yang ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), telah dibebaskan kelmarin.

Waytha Moorthy berkata, beliau akan tetap pulang ke Malaysia sama ada kerajaan akan menahan beliau ataupun sebaliknya.

Bagaimanapun beliau tidak menyatakan tarikh pulang ke Malaysia.

Wayta Moorthy meninggalkan Malaysia untuk mencari sokongan di luar negara sebaik sahaja Hindraf mengadakan perhimpunan besar-besaran, yang tidak sah di ibu negara hujung November 2007.

Beliau tidak pulang ke Malaysia, sebaliknya hanya mengeluarkan kenyataan dari London dari semasa ke semasa mendesak lima pemimpinnya dibebaksn.

"Saya telah mengambil keputusan untuk kembali ke Malaysia memandangkan peguam-peguam Hindraf telah dibebaskan," katanya dalam satu kenyataan dikeluarkan hari ini.

Sehubungan itu, tegas Waytha Moorthy, beliau bersedia berhadapan dengan apa jua tindakan undang-undang kelak.

"Kini komrad-komrad saya telah dibebaskan, saya telah memutuskan bahawa saya perlu pulang ke Malaysia untuk meneruskan objektif dan matlamat Hindraf dalam menuntut apa yang telah digariskan pada asalnya meskipun kemungkinan (saya) ditahan di bawah ISA ataupun di bawah apa jua undang-undang yang menindas," katanya.

Kenyataan itu dikeluarkan dua hari selepas baki tiga pemimpin Hindraf ditahan di bawah ISA dibebaskan oleh kerajaan kelmarin.

Tiga pemimpin berkenaan ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan Kota Alam Shah, M. Manoharan, 48; K. Vasantha Kumar, 36, dan P. Uthayakumar, 47.

Dua pemimpin telah dibebaskan awal April lalu.

"Saya memang menyedari risiko jika pulang kerana saya secara jujur percaya bahawa perjuangan Hindraf adalah sesuatu yang adil dan wajar.

"Saya telah memperoleh nasihat daripada penyokong akar umbi dan mereka berpendapat bahawa saya tidak harus pulang kerana bimbang saya akan ditahan dan dipenjarakan," katanya.

Bagaimanapun katanya, kemungkinan akan ditahan ataupun dipenjarakan tidak menakutkan beliau.

Ini kerana objektif Hindraf untuk membebaskan lima pemimpinnya telah berakhir, kata beliau

"Oleh itu kini masa untuk melangkah ke depan dengan matlamat bagi masyarakat India yang telah didiskriminasikan, dipinggirkan secara sistematik," katanya.

Hindraf telah diharamkan Oktober lalu.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain