suria

Cucu bersubahat samun nenek

REMBAU: Seorang nenek tidak menyangka bahawa cucu kesayangannya sendiri sanggup bersubahat untuk menyamunnya.

Ini yang berlaku kepada seorang wanita berusia 70 tahun yang dilaporkan disamun oleh dua rakan kepada cucunya itu di rumahnya di Kampung Senama Masjid di sini hari ini.

Cucunya itu yang bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun ini tinggal bersamanya sejak dua tahun lalu setelah kedua ibu bapanya berpisah.

Menurut Ketua Polis Daerah Rembau, DSP Mizan Md Dom, semasa kejadian kirakira 8.30 pagi tadi, wanita itu sedang bersendirian di rumahnya apabila didatangi dua pelajar lelaki dari Sekolah Menengah Undang Rembau, yang menaiki sebuah motosikal.

"Mereka berdua kemudiannya mengugut nenek tua itu dengan pisau dan mengikat dia dengan tali. Pelajarpelajar terbabit kemudiannya merampas satu rantai emas dan satu gelang emas daripada nenek berkenaan.

"Tetapi wanita berkenaan dapat mengecam bahawa salah seorang pelajar itu merupakan rakan baik kepada cucunya," kata Mizan.

Ekoran kejadian itu, polis pergi ke sekolah tersebut untuk mencari cucu kepada mangsa dan diberitahu pelajar terbabit sudah empat hari ponteng sekolah, katanya.

Beliau berkata pelajar berkenaan akhirnya ditahan ketika sedang merayaurayau di pekan Rembau.

Beberapa jam kemudian, dua rakannya yang terbabit dalam kejadian samun itu turut ditahan.

"Kita temui wang tunai berjumlah lebih kurang RM2,650 dari mereka. Cucu mangsa juga didapati telah membeli sebuah telefon bimbit baru.

"Kita dapati mereka sudah menggadai barang kemas milik wanita berkenaan," kata Mizan.

Beliau berkata ketigatiga pelajar terbabit akan didakwa atas kesalahan samun bersenjata. BERNAMA

Artikel Lain