suria

Wanita Umno Perak garis 4 teras utama, 2 pasukan khas

IPOH: Pergerakan Wanita Umno Perak menubuhkan dua pasukan khas iaitu Gerak Kasih dan Pilihan Raya serta menggariskan empat teras utama perjuangan pergerakan itu di peringkat negeri.

Ketuanya Datuk Rusnah Kassim berkata kesemua itu adalah usaha memastikan Barisan Nasional (BN) berupaya mengekalkan kemenangan pada pilihan raya umum ke13 nanti.

Pasukan khas Gerak Kasih bagi memantau dan menyelesaikan masalah rakyat di peringkat akar umbi serta sebagai agenda meneruskan tanda prihatin pergerakan itu kepada masyarakat.

Ia dibahagikan kepada empat sekretariat iaitu kebajikan, agama, penerangan dan pilihan raya.

Gerak Kasih pula ditubuhkan untuk mengeratkan hubungan silaturrahim anggota Wanita dengan rakyat di peringkat akar umbi untuk mengenal pasti masalah di peringkat bawahan dan membantu menyelesaikannya, katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat pertama pergerakan itu di Bangunan Umno Perak di sini hari ini.

Katanya selain Gerak Kasih, mesyuarat kali pertama itu turut bersetuju menubuhkan pasukan khas pilihan raya bagi melaksanakan pelbagai program menarik untuk memastikan BN boleh menang pada pilihan raya umum ke13 akan datang.

Rusnah berkata pasukan khas Pilihan Raya itu diketuai oleh timbalannya Datuk Kamilia Ibrahim yang juga Naib Ketua Pergerakan Wanita Umno.

Lapan sekretariat yang mempunyai lebih 21 biro untuk menentukan kemenangan BN pada pilihan raya umum akan datang juga ditubuhkan, katanya.

Semua biro diberi tempoh kira-kira seminggu untuk mengenal pasti program yang sesuai untuk dijalankan dan dimestikan melaksanakan sekurang-kurangnya dua program dalam setahun. BERNAMA

Artikel Lain