suria

Warga New Zealand disahkan negatif influenza A (H1N1)

KUALA LUMPUR: Ujian sampel tekak yang diambil daripada warga New Zealand yang mengadu kurang sihat di Hospital Pulau Pinang (HPP) semalam, disahkan negatif influenza A (H1N1), kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Liow Tiong Lai.

Beliau berkata Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) menerima sampel itu daripada Hospital Pulau Pinang pada pukul 10.30 malam tadi, dan telah menjalankan kajian terhadap sampel itu sehingga pukul 5.30 pagi ini.

"IMR telah menjalankan tugas dengan rapi dan sampel telah diproses dengan cepat supaya rakyat boleh segera tahu hasilnya," katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan mengejut ke IMR di sini hari ini.

Warga New Zealand berumur 45 tahun itu dilaporkan tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) di Sepang pada 25 April lepas dan pada 1 Mei dilaporkan demam dan dimasukkan ke sebuah hospital swasta di Pulau Pinang sebelum dipindahkan ke Hospital Pulau Pinang sebagai langkah berjaga-jaga berikutan wujud kes influenza di New Zealand.

Liow berkata beliau berpuas hati dengan persiapan IMR sebagai makmal rujukan wabak influenza A (H1N1) yang sentiasa bersedia 24 jam untuk menerima dan menjalankan siasatan terhadap mana-mana sampel yang diterima.

Beliau juga menasihatkan media supaya tidak gopoh dalam melaporkan sebarang kes disyaki influenza A (H1N1) kerana ini akan mencetuskan perasaan panik di kalangan orang ramai.

"Jika ada apa-apa kes sedemikian, Kementerian Kesihatan akan segera mengumumkan kepada orang ramai dan akan bersikap telus.

"Kita tidak akan merahsiakan mana-mana kes," katanya.

Pengarah Bahagian Kawalan Penyakit Kementerian Kesihatan, Datuk Dr Hasan Abdul Rahman berkata Pertubuhan Kesihatan Sedunia menetapkan dua istilah atau terminologi bagi mengkategorikan kes-kes berkaitan wabak itu, iaitu kes yang disahkan dan kes kebarangkalian influenza A (H1N1).

"Sampel yang diperoleh akan diuji dalam makmal sama ada tergolong dalam influenza A yang sudah dikenalpasti atau tidak.

"Jika hasil kajian mendapati sampel adalah influenza A yang belum dikenalpasti, maka barulah ia dikategorikan sebagai kes kebarangkalian," katanya.

Beliau berkata selepas proses itu barulah sampel akan diuji dengan beberapa kajian terperinci yang mengambil masa 10 jam hingga seminggu sebelum dapat disahkan sebagai influenza A (H1N1).

Beliau berkata IMR kini di dalam proses mendapatkan bahan uji daripada Pusat Kawalan Penyakit (CDC) di Atlanta yang membolehkan sesuatu sampel diuji terus untuk influenza A (H1N1) yang hanya mengambil masa enam jam berbanding sekarang. BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain