suria

DUN Penanti: Biro Politik Umno tangguh mesyuarat

PETALING JAYA: Biro Politik Umno yang sebelum ini dijadual mengadakan mesyuarat petang ini bagi memutuskan sama ada Umno akan meletakkan calon pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Penanti, telah menunda pertemuan itu sehingga Isnin.

Ketua Penerangan Umno, Ahmad Maslan ketika dihubungi mengesahkan mengenai penangguhan tersebut.

"Sepatutnya Biro Politik bermesyuarat esok, tapi ia terpaksa ditangguhkan kerana Datuk Seri (Mohd) Najib (Tun Razak) mengadakan lawatan ke Brunei.

"Jadi Biro Politik akan mengadakan mesyuarat pada Isnin minggu depan," katanya kepada mStar Online.

Perdana Menteri mengadakan lawatan rasmi selama dua hari ke Brunei bermula semalam.

Najib yang juga Pengerusi Biro Politik dijadual mempengerusikan mesyuarat itu bagi menetapkan pendirian Barisan Nasional (BN) dan Umno mengenai pilihan raya kecil Penanti.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah menetapkan 23 Mei sebagai hari penamaan calon dan jika ada pertandingan, pengundian diadakan pada 31 Mei.

Maklumat yang diperoleh daripada lawan web Umno juga memberitahu mesyuarat berkenaan akan turut dihadiri oleh Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin; Naib-naib Presiden iaitu Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

Selain itu mesyuarat tersebut juga bakal dihadiri oleh ketua pergerakan sayap-sayap parti, Setiausaha Agung, Bendahari Agung dan Setiausaha Kerja serta Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri-negeri.

Antara perkara lain yang dijangka akan turut dibincangkan ialah mengenai situasi politik semasa.

Artikel Lain