suria

Tiga maut, tiga parah dalam dua kemalangan

KUALA LUMPUR: Impian seorang Lans Koperal polis untuk melangsungkan perkahwinan Jun ini tidak kesampaian apabila beliau terbunuh dalam kemalangan jalan raya pagi ini.

Yushi Yusof, 28, maut di tempat kejadian apabila motosikal yang ditunggangnya bergesel dengan sebuah kereta lalu terbalik di Lebuhraya Kuala Lumpur-Seremban berhampiran Desa Petaling.

Mangsa yang berasal dari Labuan dan bertugas di Cawangan Pengangkutan Ibu Pejabat Polis Daerah Brickfields sejak lapan tahun yang lalu mati akibat cedera parah di kepala.

Pegawai Turus Siasatan dan Perundangan Trafik Kuala Lumpur DSP Abdullah Roning ketika dihubungi berkata dalam kejadian pukul 6 pagi itu, mangsa sedang dalam perjalanan dari Berek Polis IPD Brickfields ke Desa Petaling untuk menemui rakannya.

Sementara itu, rakan mangsa, Irwan Ismail, 28, berkata mangsa begitu gembira kerana baru bertunang bulan lepas dan akan melangsungkan perkahwinannya Jun depan.

Ketua Polis Daerah Brickfields ACP Wan Abdul Bari Wan Abdul Khalid berkata jenazah Allahyarham Yushi akan diterbangkan ke Labuan lewat hari ini.

Dalam satu lagi kemalangan di hadapan Institut Jantung Negara, Jalan Tun Razak, sepasang kekasih maut manakala dua lagi cedera parah selepas kereta yang mereka naiki melanggar sebuah lori.

Wong Tuck Seong, 23, dikatakan dalam perjalanan pulang ke Gombak untuk menghantar teman wanitanya, Leong Pui Long, 27, selepas menyambut hari jadi adik Leong di Berjaya Times Square pukul 5 pagi ini.

"Dua lagi penumpang belakang yang cedera parah adalah adik Leong dan mereka dirawat di Hospital Kuala Lumpur (HKL) manakala pemandu lori yang turut cedera ditempatkan di Institut Jantung Negara kerana serangan jantung," kata Abdullah.

Mayat kedua-dua mangsa dihantar ke HKL untuk bedah siasat sebelum dituntut oleh keluarga masing-masing. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain