suria

Hindraf tawar parti politik alternatif kaum India

BERUBAH WAJAH... Perhimpunan yang dianjurkan oleh Hindraf di Jalan Ampang, Kuala Lumpur pada 25 November 2007, beberapa bulan sebelum pilihan raya umum ke-12. Ia diharamkan pada 15 Oktober 2008. Kini ia berusaha ke arah membentuk sebuah parti politik sah di sisi undang-undang bagi menjaga kepentingan masyarakat India.
BERUBAH WAJAH... Perhimpunan yang dianjurkan oleh Hindraf di Jalan Ampang, Kuala Lumpur pada 25 November 2007, beberapa bulan sebelum pilihan raya umum ke-12. Ia diharamkan pada 15 Oktober 2008. Kini ia berusaha ke arah membentuk sebuah parti politik sah di sisi undang-undang bagi menjaga kepentingan masyarakat India.
BERUBAH WAJAH... Perhimpunan yang dianjurkan oleh Hindraf di Jalan Ampang, Kuala Lumpur pada 25 November 2007, beberapa bulan sebelum pilihan raya umum ke-12. Ia diharamkan pada 15 Oktober 2008. Kini ia berusaha ke arah membentuk sebuah parti politik sah di sisi undang-undang bagi menjaga kepentingan masyarakat India.

PETALING JAYA: Selepas lebih enam bulan diharamkan, pemimpin-pemimpin Hindraf kini di peringkat akhir untuk menubuhkan sebuah parti politik alternatif bagi masyarakat India negara ini.

Sebagai langkah awal ke arah itu, kesemua penyelaras peringkat nasional, negeri dan daerah Hindraf telah digantung peranan masing-masing berkuat kuasa serta-merta manakala jawatankuasa sementara dianggotai tiga orang telah pun dibentuk.

Kenyataan rasmi mengenai penubuhan parti baru dijangka dikeluarkan menjelang akhir bulan ini ataupun awal Mei.

Hindraf telah diharamkan 15 Oktober lalu atas alasan memudaratkan keselamatan negara dan ketenteraman awam.

Ketika dihubungi mStar Online penyelaras kebangsaannya, R.S. Thanenthiran mengesahkan pihaknya sedang mengambil langkah-langkah ke arah membentuk sebuah badan formal lagi sah di sisi perundangan.

"Sejak Hindraf diharamkan (tahun lalu), kami berhadapan dengan kesukaran untuk bergerak dan kami perlu terus bergerak untuk menjaga kepentingan masyarakat India dan memenuhi 18 tuntutan yang dikemukakan (pada 2007).

"Untuk itu, kami merasakan bahawa kami memerlukan sebuah platform yang sah... jadi kami sedang berusaha untuk menyusun semula strategi untuk memiliki sebuah badan yang sah agar dapat berjuang menjaga kepentingan masyarakat India dengan berkesan dan tersusun," kata beliau.

Katanya, segala proses untuk membentuk parti baru itu sudah hampir selesai.

"Kita tunggu pengumuman Waytha Moorthy (Pengerusi Hindraf) dalam dua minggu ini," katanya.

HINDRAF DISUSUN SEMULA

Terdahulu dalam kenyataan yang dikeluarkan, P. Waytha Moorthy berkata, Hindraf akan disusun semula selaras dengan perubahan keperluan, harapan dan aspirasi semasa masyarakat India ekoran perubahan suasana dalam negara secara kualitatif sejak 25 November 2007.

Apabila ditanya sama ada usaha tersebut bermotifkan sebuah parti politik yang sah dalam jangka panjang, Thanenthiran memberitahu: "Ya, ya."

Usaha ke arah itu digerakkan selepas Hindraf diharamkan Oktober lalu.

Beliau juga mengakui pertubuhan politik itu akan menjadi alternatif kepada masyarakat India negara ini.

Kini masyarakat India negara ini mempunyai pilihan sama ada menyertai MIC, Parti Progresif India (PPP), Barisan Kemajuan India ataupun Parti Bersatu India Malaysia (MIUP).

PPP melihat ia parti pelbagai kaum manakala tiga yang lain itu khusus untuk masyarakat India.

Selain itu, masyarakat India negara ini juga menyertai Gerakan, Parti Keadilan Rakyat, DAP dan PAS menerusi Kelab Penyokong PAS.

NGO, POLITIK

Difahamkan struktur baru organisasi yang hendak digerakkan oleh pemimpin Hindraf itu akan terdiri daripada sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan parti politik.

"Sebagaimana kita dapat lihat di kebanyakan negara, akan ada sebuah parti politik dan pertubuhan bukan kerajaan yang akan bergerak serentak selepas ini," katanya.

Thanenthiran menjelaskan, keperluan untuk mewujudkan parti politik itu telah disentuh dalam pertemuan dengan Waytha Moorthy di India sempena satu persidangan pertengahan Januari lalu.

Pada 15 Oktober lalu, Kementerian Dalam Negeri mengeluarkan pengisytiharan bahawa setelah berpuas hati dengan segala fakta dan bukti bahawa Hindraf digunakan bagi maksud memudaratkan ketenteraman awam dan keselamatan negara dan akhlak.

Hindraf pernah mengemukakan permohonan pendaftaran pada 16 Oktober 2007 dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan.

Permohonan itu belum diluluskan tetapi pertubuhan tersebut telah bergerak aktif dengan menganjurkan beberapa perhimpunan awam dan demontrasi tanpa permit dan mengeksplotasi isu-isu perkauman.

Artikel Berikut

Artikel Lain