suria

Warga emas kekal dipenjara seumur hidup

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini hari ini mengekalkan hukuman penjara seumur hidup terhadap seorang warga emas berusia 67 tahun bagi kesalahan melakukan rompakan bersenjata api, di sini kira-kira lapan tahun lepas.

Pesuruhajaya Kehakiman Azman Abdullah dalam keputusannya yang menolak rayuan Loo Moy Shan @ Loo Mooi Heong, berkata terdapat bukti yang menunjukkan tertuduh telah ditangkap semasa memegang senjata api itu.

"Hakim Mahkamah Sesyen telah menjatuhkan hukuman ini dengan betul mengikut undangundang. Oleh itu rayuan ini ditolak dan sabitan dan hukuman terhadap tertuduh dikekalkan," kata beliau dalam keputusan lisannya.

Pada 16 Jun, 2005, Loo dari Ipoh, didapati bersalah oleh Mahkamah Sesyen di sini atas tuduhan merompak Yeow Lan Soon, 60, penolong pengurus Syarikat Metro Bus, sebanyak RM200 dengan mengacu senjata api iaitu sepucuk Revolver .38 Smith & Wesson dengan cara mendatangkan ketakutan mati atau cedera kepada mangsa.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di lampu isyarat persimpangan Jalan Hang Kasturi dan Jalan Leboh Pasar Besar, di sini, pada kirakira pukul 12 tengah hari, 23 Mac 2001.

Bagi kesalahan itu, Loo, bekas pemandu bas di Ipoh, didakwa mengikut Seksyen 4 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 yang membawa hukuman penjara seumur hidup dan boleh dikenakan enam kali sebatan, jika sabit kesalahan.

Dia juga didapati bersalah terhadap dualagi pertuduhan iaitu memiliki sepucuk revolver .38 Smith & Wesson dan lima butir peluru hidup jenis .38 tanpa kebenaran, yang merupakan kesalahan mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 dan Seksyen 8(a) Akta Senjata Api 1960.

Kedua-dua kesalahan itu dilakukan di tempat, tarikh dan masa yang sama dengan pertuduhan merompak.

Bagi pertuduhan kedua dan ketiga itu, Loo masingmasing dihukum penjara enam tahun dan dua tahun, berkuatkuasa mulai tarikh dia ditangkap pada 23 Mac 2001.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwaraya Rozaliana Zakaria, manakala peguambela Gurbachan Singh bagi tertuduh tidak hadir ke mahkamah. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain