suria

Batal promosi album jejaskan nama EMI

KUALA LUMPUR: Pembatalan program promosi album Hari Raya "Pulanglah Perantau" akibat keengganan penyanyi Aishah mengikuti jadual di televisyen 11 tahun lalu telah menjejaskan nama syarikat rakaman EMI (Malaysia) Sdn Bhd, demikian Mahkamah Tinggi diberitahu hari ini.

Bekas pengurus kanan promosi EMI, Rosmanizawani Mohammad Nadzir, 36, berkata tindakan Aishah atau nama penuhnya Wan Aishah Wan Arifin itu menyebabkan kebolehpercayaan dan pengurusan artis syarikat dipersoalkan.

"Saya terpaksa menelefon penerbit TV dan membatalkan tempahan program promosi itu," katanya ketika disoal peguam Soo Siew Mei yang mewakili EMI selaku defendan pada perbicaraan kes saman penyanyi itu terhadap EMI bagi menuntut ganti rugi RM406,000 kerana didakwa memungkiri kontrak.

"Saya menerima maklum balas negatif daripada penerbit yang amat kecewa kerana pembatalan itu menjejaskan penjadualan mereka dan mereka terpaksa mencari artis pengganti," kata saksi ketiga itu bagi pihak syarikat.

Pada perbicaraan lepas, mahkamah diberitahu bahawa Aishah tidak menjawab memo syarikat bagi pengesahan jadual promosi di televisyen itu atas alasan bahawa tidak ada gunanya beliau (Aishah) berbuat demikian kerana albumnya belum siap dan gambar belum diambil.

Berikutan tindakan itu, syarikat menyatakan penyanyi berusia 44 tahun itu telah melanggar perjanjian sehingga menyebabkan EMI terpaksa membatalkan program promosi yang telah ditempah sebelum itu.

Ketika diminta mengulas perkara itu, Rosmanizawani, kini seorang suri rumah, menjawab bahawa syarikat itu hanya memerlukan satu lagu sahaja daripada album tersebut bagi tujuan promosi itu.

"Saya sudah sering kali menempah program promosi di TV sebelum lagu atau album siap.

"Fakta bahawa album plaintif (Aishah) belum siap dan gambarnya belum diambil tidak menjejaskan aktiviti promosi itu," katanya.

EMI dalam pernyataan pembelaannya pula menafikan dakwaan Aishah dan mengemukakan tuntutan balas bagi menuntut ganti rugi sebanyak RM93,071.

Penyanyi itu yang terkenal dengan lagu "Janji Manismu" diwakili peguam Hasnal Rezua Merican. EMI diwakili peguam Nad Segaram dan Soo.

Semasa disoal balas Hasnal Rezua sama ada dalam perjanjian ada menyatakan bahawa Aishah perlu mengesahkan aktiviti promosi program itu, Rosmanizawani menjawab beliau tidak tahu.

Hakim Datuk Tee Ah Sing memerintahkan peguam mewakili keduadua pihak menyediakan hujah selepas pihak defendan menuntup kes mereka hari ini.

Beliau juga menetapkan 7 Mei ini untuk sebutan kes itu. BERNAMA

Artikel Lain