suria

Pemimpin Gerakan bertanggungjawab balas kepercayaan PM

KUALA LUMPUR: Pelantikan Presiden Gerakan Tan Sri Dr Koh Tsu Koon dalam barisan Kabinet memperlihatkan kepercayaan dan keyakinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak terhadap bekas ketua menteri Pulau Pinang.

Menurut satu kenyataan Jawatankuasa Kerja Pusat parti itu hari ini, pelantikan Dr Koh sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Perpaduan dan Pengurusan Prestasi) akan meningkatkan lagi perpaduan nasional dan prestasi seiring dengan slogan pentadbiran Perdana Menteri "Satu Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan".

Gerakan tidak diberikan sebarang jawatan Menteri Kabinet dalam pentadbiran bekas perdana menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi selepas parti itu mengalami kekalahan teruk pada pilihan raya umum 8 Mac 2008.

Parti itu juga hilang kuasa sebagai pentadbir kerajaan Pulau Pinang pada pilihan raya itu.

Semalam, Najib semasa menamakan barisan Kabinetnya mengumumkan pelantikan tiga pemimpin Gerakan sebagai anggota pentadbiran.

Selain Dr Koh, yang mengangkat sumpah sebagai senator semalam, Pengerusi Gerakan Selangor Senator A. Kohilan Pillay dilantik sebagai Timbalan Menteri Luar manakala Ketua Wanita Gerakan Datuk Tan Lian Hoe sebagai Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna.

"Meskipun tanggungjawab ketiga-tiga pemimpin itu berat, parti ini mempunyai keyakinan mereka akan melakukan yang terbaik untuk berkhidmat kepada rakyat dan negara.

"Jawatan yang dipegang Kohilan amat penting untuk mengembangkan hubungan baik Malaysia di peringkat antarabangsa manakala Tan bertanggungjawab membantu kerajaan meningkat pertumbuhan perdagangan dalam negeri," menurut CWC.

CWC berpendapat pembentukan barisan Kabinet Najib pada keseluruhannya adalah satu pasukan yang seimbang terdiri daripada anggota profesional dan pemimpin muda.

"Ia mencerminkan kekuatan dan kepelbagaian parti gabungan Barisan Nasional yang mewakili seluruh rakyat Malaysia dan semua pelosok negara ini Satu Malaysia," menurut badan pembuat keputusan parti Gerakan itu. BERNAMA

Artikel Lain