Nik Aziz bantah kerjasama dengan BN - Semasa | mStar

Nik Aziz bantah kerjasama dengan BN

KOTA BHARU: Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat hari ini menegaskan pendiriannya tidak bersetuju dengan cadangan mewujudkan kerajaan campuran PAS dan Barisan Nasional (BN) yang dibuat Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang sebelum ini.

Ini kerana, kata beliau, PAS pernah berada dalam kerajaan campuran BN sebelum mereka berpisah daripada kerajaan pakatan itu dan telah merasa sendiri pahit manis ketika bersama.

"Kami sudah cuba masuk dalam kerajaan campuran dulu tapi BN tidak hargai. Cubaan kami masuk dulu gagal, bukan gagal kerana kami, saya sudah perit (serik).

"Selagi saya tidak puas hati, saya rasa pahit untuk menerimanya (cadangan itu)," katanya.

Nik Aziz yang juga Mursyidul Am PAS ditemui pemberita di rumah pelajar cemerlang, Nik Nur Madihah Nik Mohd Nor, 18, yang mendapat 20A dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun lepas di Kampung Parang Punting, dekat sini, hari ini.

Bagaimanapun, katanya pandangan itu adalah pendapat peribadi beliau dan perkara itu akan diperhalusi pada Muktamar Tahunan PAS pada Jun nanti.

Susulan cadangan Abdul Hadi, Naib Presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin meminta PAS mengemukakan butiran jelas mengenai cadangan menubuhkan kerajaan campuran antara BN dan pakatan pembangkang di negara ini.

Muhyiddin berkata PAS perlu mengemukakan secara terperinci tentang bagaimana kerajaan campuran itu mahu dibentuk sebelum apa-apa pertemuan dapat dibuat.

Semalam, Dewan Pemuda PAS menyuarakan sokongan terhadap cadangan itu dan menganggap ia dibuat pada masa yang tepat.

Bagaimanapun, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng menuntut presiden PAS itu menerangkan maksud beliau kepada Parti Keadilan Rakyat dan DAP, sekutu PAS dalam gabungan parti pembangkang.

Artikel Sebelum

Nik Aziz bantah kerjasama dengan BN

Artikel Berikut

Artikel Berkaitan

Artikel Lain