suria

Muhyiddin, Mukhriz dan Shahrizat popular untuk menang?

PETALING JAYA: Tan Sri Muhyiddin Yassin, Datuk Mukhriz Tun Mahathir dan Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil dianggap mempunyai peluang cerah untuk memenangi jawatan ditandingi masing-masing hujung bulan ini.

Muhyiddin bertanding jawatan Timbalan Presiden manakala Mukhriz saingi kerusi Ketua Pemuda dan Shahrizat pula mencabar Tan Sri Rafidah Aziz untuk kedudukan Ketua Wanita.

Populariti itu diperoleh dalam kajian kendalian Merdeka Center di kalangan publik bulan lalu dan diumumkan hari ini.

Dua calon lain bagi kerusi Timbalan Presiden, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam memperoleh sokongan populariti 11 peratus manakala Tan Sri Muhammad Muhammad Taib pula tujuh peratus.

Ketiga-tiga mereka - yang mempunyai pengalaman memegang kerusi Naib Presiden, bertanding kerusi itu buat kali pertama.

Di kalangan responden Melayu pula Muhyiddin memperoleh 61 peratus sokongan berbanding 14 peratus dan lapan peratus bagi Mohd. Ali dan Muhammad.

Muhyiddin dan Mohd Ali masing-masing merupakan Naib Presiden Umno. Kini di peringkat pusat, Muhyiddin merupakan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri manakala Mohd. Ali pula Ketua Menteri Melaka. Muhammad juga merupakan anggota Kabinet Persekutuan.

Penemuan firma penyelidikan Merdeka Center ini agak berlainan berbanding keputusan tinjauan kendalian pensyarah Universiti Malaya yang didedahkan dua hari lalu.

Berdasarkan kajian pensyarah itu, yang turut menggunakan sebahagian besar responden kalangan publik, Mohd. Ali berada di kedudukan utama berbanding Muhyiddin dan Muhammad.

Bagi jawatan Ketua Pemuda, Mukhriz dilihat sebagai calon paling popular dengan memperoleh 52 peratus sokongan berbanding 11 peratus masing-masing untuk Naib Ketua Pemuda, Khairy Jamaluddin dan bekas Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Muhd. Khir Toyo.

Kajian UM pula memperlihatkan sokongan padu memihak Khairy yang juga Ahli Parlimen Rembau.

Dalam pada itu, Shahrizat yang kini merupakan Naib Ketua Wanita juga memperoleh 51 peratus sokongan populariti manakala Rafidah pula 26 peratus.

Shahniza Shamsuddin juga memperoleh 26 peratus sokongan untuk jawatan Ketua Puteri Umno yang menjadi saingan enam calon.

Sementara itu, Menteri Pelajaran Datuk Seri Hishammuddin Hussein muncul calon paling popular dengan 17 peratus sokongan dan beliau disusuli oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dengan 13 peratus sokongan.

Menduduki tempat ketiga di kalangan calon Naib Presiden ialah Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal dengan lapan peratus sokongan di kalangan pengundi Melayu.

Bagaimanapun, populariti dikalangan responden keseluruhannya, Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein menduduki tempat pertama, disusuli dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi,Menteri Luar, Datuk Seri Dr Rais Yatim, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Syed Hamid Albar, Menteri Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, bekas Ketua Menteri Melaka, Tan Sri Rahim Thamby Chik dan bekas Menteri Besar Negeri Sembilan, Tan Sri Mohd Isa Samad.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan itu, Pengarah Eksekutif Merdeka Center, Ibrahim Suffian berkata, penemuan kajian kali ini menunjukkan masyarakat umum turut menunjukkan minat terhadap keputusan pemilihan pusat Umno.

"Mereka juga mempunyai pandangan mendalam tentang masalah yang dialami parti tetapi pada masa yang sama mengharapkan mereka yang dipilih kelak akan memenuhi kehendak ahli dan parti," katanya.

Kajian ini dikendalikan oleh Merdeka Center dengan kerjasama Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.

Seramai 1,031 responden kalangan pengundi berdaftar di Semenanjung Malaysia iaitu 57 peratus orang Melayu, 31 peratus Cina dan 12 peratus dari kaum India telah ditemu bual bulan lalu.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain