suria

Gani, Musa bebas, Anwar kata meluat

[DIKEMAS KINI] KUALA LUMPUR: Ketua Umum Pakatan, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata beliau 'meluat' dengan hasil laporan polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang mendapati Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan tidak bersalah memalsukan bukti siasatan kes mata lebam beliau kira-kira 10 tahun lalu.

"Saya rasa ia sesuatu yang mengecewakan bagi kes ini memandangkan terdapat bukti yang kukuh," katanya kepada media di lobi Parlimen, hari ini.

Hari ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz berkata, Abdul Gani dan Musa didapati tidak bersalah dalam memalsukan bukti siasatan kes mata lebam Anwar 10 tahun lalu berdasarkan siasatan yang dijalankan pihak polis dan SPRM.

Katanya, SPRM telah melantik tiga panel bebas yang terdiri daripada bekas hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Abdul Kadir Sulaiman dan Datuk Mohamad Noor Abdullah serta bekas hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Wira Mohd Noor Ahmad bagi mengkaji dan membuat perakuan terhadap kes tersebut.

Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Ahmad Said Hamdan juga menjelaskan tidak wujud sebarang kes jenayah terhadap kedua-dua individu tersebut.

Mengulas lanjut, Anwar berkata, beliau telah menghantar semua bukti yang ada kepada ahli-ahli panel penyiasat.

"Adalah sesuatu perkara yang biasa bagaimana mereka menguruskan sistem (siasatan) ini," katanya," katanya.

Anwar telah membuat laporan sebanyak dua kali sebelum ini iaitu pada 1 Julai tahun lalu dan 21 Februari lalu terhadap Abdul Gani dan Musa dengan mendakwa kedua-dua individu terbabit memalsukan bukti siasatan kes mata lebam beliau kira-kira 10 tahun lalu.

Bagaimanapun, Abdul Gani dan Musa menafikan dakwaan itu. Musa sudah memfailkan saman fitnah terhadap Anwar, manakala Abdul Gani juga turut menyuarakan hasratnya untuk menyaman Anwar.

BERITA TERDAHULU

Dakwaan Anwar: Peguam Negara, Ketua Polis Negara bebas

KUALA LUMPUR: Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan bebas daripada dakwaan terlibat memalsukan bukti kes mata lebam Datuk Seri Anwar Ibrahim lebih 10 tahun lalu.

Kedua-dua mereka didapati tidak bersalah berdasarkan hasil siasatan polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung laporan dibuat oleh Anwar, yang juga Ketua Umum Pakatan Rakyat Julai lalu.

Ia diumumkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz di Parlimen pagi tadi.

Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Ahmad Said Hamdan juga menjelaskan tidak wujud sebarang kes jenayah terhadap kedua-dua pihak yang disiasat.

Kata beliau, memandangkan kes ini amat sensitif, berprofil tinggi dan berkepentingan awam dan mengambil kira tanggapan dan persepsi negatif yang mungkin timbul, SPRM telah mencadangkan tiga orang ahli panel bebas dilantik sebagai timbalan pendakwa raya untuk mengkaji dan membuat perakuan.

"Mereka terdiri daripada bekas-bekas Hakim Mahkamah Persekutuan dan Hakim Mahkamah rayuan yang berwibawa, berintegriti dan dihormati oleh masyarakat.

"Pelantikan mereka sebagai timbalan pendakwa raya dibuat oleh Peguamcara Negara.

"Setelah mengkaji dengan teliti dan mendalam, majoriti ahli panel memperakukan bahawa Abdul Gani dan Musa tidak melakukan sebarang kesalahan jenayah sepertimana yang didakwa oleh Anwar.

"SPRM juga berpendapat tidak wujud sebarang kes jenayah terhadap kedua-dua pihak yang disiasat," kata beliau dalam kenyataan.

Kata beliau, siasatan yang dijalankan telah merakam percakapan saksi-saksi termasuklah Anwar sendiri yang dibuat secara teratur melalui peguamnya.

"Oleh yang demikian tidak timbul isu suruhanjaya ini tidak mengambil tindakan siasatan berkaitan aduannya itu," kata beliau lagi.

Mengulas lanjut, Nazri menjelaskan, SPRM telah melantik tiga panel bebas yang terdiri daripada bekas hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Abdul Kadir Sulaiman dan Datuk Mohamad Noor Abdullah serta bekas hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Wira Mohd Noor Ahmad bagi mengkaji dan membuat perakuan terhadap kes tersebut.

"Panel bebas ini tidak sesama mereka dan telah membuat ulasan secara profesional, telah mengkaji kes secara teliti dan mendalam.

"Secara majoriti diputuskan Peguam Negara tidak melakukan apa-apa kesalahan jenayah seperti yang ditohmahkan dan tidak ada sebarang keterangan terhadap Ketua Polis Negara," katanya ketika menjawab soalan Gobind Singh Deo (DAP-Puchong) dalam sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Nazri berkata, siasatan itu telah pun selesai dalam masa dua bulan selepas ia dimulakan 2 Julai lalu namun memandangkan kes tersebut amat sensitif, berprofil tinggi dan mengira tanggapan negatif yang mungkin timbul, SPRM telah mencadangkan pelantikan tiga panel tersebut.

Katanya, berhubung tuduhan terhadap Gani, dua daripada tiga panel mengatakan bahawa Gani tidak bersalah manakala bagi Musa, ketiga-tiga panel mengatakan beliau tidak bersalah.

Nazri berkata, pihaknya perlu mengambil sedikit masa sebelum mendedahkan hasil siasatan itu kerana perlu mengambil kira beberapa perkara.

Anwar telah membuat laporan terhadap Abdul Gani dan Musa sebanyak dua kali sebelum ini kerana didakwa terlibat dalam memalsukan bukti kes mata lebam beliau 10 tahun lalu.

Bagaimanapun, Gani dan Musa menafikan dakwaan itu. Musa sudah memfailkan saman fitnah terhadap Anwar, manakala Abdul Gani juga turut menyuarakan hasratnya untuk menyaman Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu.

Artikel Lain